Lelaki warga China hilang selepas hantar cucu belajar di KL

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis giat mengesan seorang lelaki warga China yang dilaporkan hilang di ibu negara.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintenden Nuzulan Mohd Din berkata, laporan kehilangan lelaki berusia 54 tahun itu diterima pihaknya pada jam 3.36 pagi, Jumaat lalu.
"Siasatan dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang.
"Kali terakhir telefon lelaki itu dikesan di kawasan sekitar Jalan Ampang, Kuala Lumpur," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Tambahnya, usaha mengesan individu itu sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Dang Wangi di talian 03-26002264 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222.
Sebelum itu tular di media sosial Instagram berhubung kehilangan lelaki dikenali sebagai Ishaq.
Berdasarkan dakwaan di hantaran itu, lelaki tersebut datang ke Malaysia untuk menghantar cucunya belajar.
Lelaki itu juga dikatakan sempat menghubungi keluarganya di China pada 22 September sebelum hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
