[VIDEO] ‘Pandu kereta mewah bukan tiket kebal undang-undang’ - JPJ

A
A
A

KOTA BHARU - Bergaya dengan kenderaan mewah bernilai ratusan ribu malah mencecah jutaan ringgit namun 3,790 pemilik daripada golongan T20 termasuk pempengaruh dan usahawan kosmetik dikesan tidak memperbaharui cukai jalan serta insurans kenderaan mereka.

Antaranya, sebuah Jeep Wrangler bernilai hampir RM500,000 milik seorang usahawan wanita popular dari Kelantan yang disita di Jalan Taman Tengku Anis pada Khamis lalu kerana didapati lesen kenderaan bermotor (LKM) atau cukai jalannya tamat tempoh.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pempengaruh, usahawan dan peniaga antara kategori pemilik yang paling ramai dikesan melakukan kesalahan menerusi Op Luxury.

Menurutnya, lebih 20 peratus daripada pemilik yang dikenakan tindakan dalam operasi berkenaan terdiri daripada kategori tersebut.

Lebih mengejutkan, terdapat kenderaan mewah yang cukai jalannya tidak diperbaharui sejak 2014, menyebabkan kereta itu berada di jalan raya tanpa dokumen berkaitan yang sah untuk tempoh bertahun-tahun.

“Mereka membuat konten media sosial menggunakan kenderaan mewah untuk dilihat ramai dan apabila disemak, didapati tidak menjelaskan cukai jalan dan insurans.

“Selain gagal memperbaharui cukai jalan dan insurans ada juga kes pemandu tidak mempunyai lesen serta pelbagai kesalahan teknikal,” katanya pada sidang akhbar Op Luxury di Pejabat JPJ negeri Kelantan di Panji, di sini pada Ahad.

Pelbagai kenderaan mewah yang tamat tempoh cukai jalan dan tidak diperbaharui insurans disita pihak JPJ dalam Ops Luxury.
Pelbagai kenderaan mewah yang tamat tempoh cukai jalan dan tidak diperbaharui insurans disita pihak JPJ dalam Ops Luxury.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat pemilik kenderaan mewah yang sengaja tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana mempunyai saman atau kesalahan lampau yang belum diselesaikan.

“Jadi trend pula mereka tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans kerana mempunyai kesalahan lampau.

“Paling tinggi mereka ada saman tertunggak kerana tidak mematuhi had laju dan disenarai hitam lalu tidak memperbaharui cukai jalan serta insurans,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, Ops Luxury terbabit dijalankan dari Jun tahun lepas hingga 15 September lalu dengan Negeri Sembilan merekodkan jumlah sitaan tertinggi dengan 469 kenderaan, diikuti Selangor sebanyak 410, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (382), Johor (367) dan Pulau Pinang (357).

Selain itu, Perak merekodkan 293 sitaan, Kelantan (251), Pahang (245), Kedah (225), Melaka (207), Terengganu (174), Sarawak (153), Sabah (148), Putrajaya (69) dan Perlis (40).

Menurutnya, nilai keseluruhan kenderaan mewah yang disita itu berjumlah l RM550 juta termasuk kenderaan berprestasi tinggi bernilai lebih RM1 juta.

“Bagi kategori kenderaan berprestasi tinggi, ada yang harganya mencecah RM8.5 juta. Hampir 95 peratus pemilik kategori ini sudah menyelesaikan bayaran.

“Bagaimanapun, kenderaan bernilai antara RM250,000 hingga RM1 juta masih banyak dikesan melakukan kesalahan, antaranya BMW, Mercedes, Toyota Alphard dan Vellfire,” katanya.

Muhammad Kifli berkata, JPJ akan terus memperhebat Ops Luxury bagi memastikan semua kenderaan yang menggunakan jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan tanpa mengira harga, jenama atau status pemilik.

“Saya ingatkan memandu kenderaan mewah ini bukan tiket kebal daripada undang-undang,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!