Yang Xizhe, ‘Elon Musk masa depan’ China

Xizhe disifatkan sebagai Elon Musk masa hadapan China. Foto Agensi
Xizhe disifatkan sebagai Elon Musk masa hadapan China. Foto Agensi
A
A
A

BEIJING - Pada usia baru 13 tahun, Yang Xizhe sudah mempunyai lebih 500,000 pengikut di media sosial China, memenangi pertandingan pengaturcaraan dan menghasilkan inovasi kecerdasan buatan (AI) untuk menyelesaikan masalah kehidupan seharian.

Remaja dari Hangzhou, wilayah Zhejiang itu malah digelar sesetengah pempengaruh teknologi China sebagai genius muda dan ‘Elon Musk masa depan’.

Namun, di sebalik gelaran tersebut, Xizhe yang berketinggian 1.9 meter memilih untuk melihat dirinya sebagai sebahagian daripada generasi ‘AI native’ atau generasi yang membesar bersama teknologi kecerdasan buatan.

Baginya, AI semakin menjadi sesuatu yang penting kepada generasinya, ibarat udara dan air.

Namanya mula mendapat perhatian ramai pada Februari tahun lalu selepas video menunjukkan kaedahnya menggunakan AI untuk menghafal perbendaharaan kata bahasa Inggeris meraih 20 juta tontonan.

Seorang yang kreatif

Xizhe memuat naik gambar senarai perkataan ke Doubao sebelum memberikan arahan kepada chatbot itu untuk menghasilkan cerita menarik serta latihan peribadi berdasarkan perkataan yang perlu dipelajarinya.

Anak kelahiran Hangzhou, hab teknologi China menganggap AI sepenting udara dan air bagi generasinya. Foto Agensi
Anak kelahiran Hangzhou, hab teknologi China menganggap AI sepenting udara dan air bagi generasinya. Foto Agensi

Artikel Berkaitan:

Kaedah tersebut bukan sahaja mendapat perhatian ibu bapa, malah pendidik. Seorang guru dilaporkan mahu menggunakan pendekatan Xizhe dalam kelas pada permulaan penggal baharu.

Bermula kerana permainan video

Minat Xizhe terhadap dunia pengaturcaraan sebenarnya bermula ketika beliau berada di Tahun Dua sekolah rendah.

Selepas bermain permainan video The Legend of Zelda, beliau tertarik dengan idea menghasilkan permainannya sendiri.

Atas nasihat bapanya, beliau mula belajar sendiri menggunakan platform pengaturcaraan visual Scratch sebelum beralih kepada C++ dan seterusnya meneroka kaedah pengaturcaraan berasaskan AI.

Menariknya, kedua-dua ibu bapanya tidak mempunyai latar belakang formal dalam bidang teknologi. Namun, mereka turut mempelajari perkembangan AI bagi memahami dan mengikuti minat anak mereka.

Yang Xizhe
Yang Xizhe

Tahun ini, beliau melangkah lebih jauh dengan menyertai beberapa pertandingan hackathon.

Antara ciptaannya ialah sistem penglihatan berasaskan AI untuk membantu individu cacat penglihatan memakai alat solek. Projek itu memenangi tempat pertama pada Moonshot 48 Hackathon.

Beliau kemudian menyertai HackMIT China 2026 bersama pasukannya dan menghasilkan kotak makanan pintar menggunakan penglihatan AI serta sensor bagi memberikan cadangan pemakanan berdasarkan profil dan makanan pengguna.

Pada April, Xizhe mengetuai pasukan dengan purata usia hanya 13 tahun dalam pertandingan RedNote.

Mereka membangunkan alat AI untuk membantu pencipta kandungan menganalisis dan mengoptimumkan karya masing-masing.

Ciptaan itu bukan sahaja meraih anugerah khas, malah menerima tawaran pembelian 100,000 yuan (RM60,687) daripada sebuah syarikat.

Tiga jam sehari untuk pengaturcaraan

Di sebalik kesibukannya meneroka AI, Xizhe menetapkan peraturan sendiri supaya pelajaran tidak terabai.

Xizhe kedua dari kiri bersama pasukan AI mudanya memenangi anugerah khas pada hackathon RedNote menerusi alat pengoptimuman pencipta kandungan pada April. Foto: Agensi
Xizhe kedua dari kiri bersama pasukan AI mudanya memenangi anugerah khas pada hackathon RedNote menerusi alat pengoptimuman pencipta kandungan pada April. Foto: Agensi

Sasarannya adalah mengekalkan pencapaian akademik melebihi purata sambil memperuntukkan tiga jam sehari untuk pengaturcaraan.

Beliau juga tidak terlalu hanyut dengan gelaran genius muda atau perbandingan dengan Elon Musk.

Beliau dan keluarganya dilaporkan mengambil pujian tersebut dengan sederhana.

Apabila dewasa kelak, beliau mahu menjadi pengatur cara atau penyelidik AI.

Cita-citanya pula ringkas tetapi besar maknanya.

“Jika boleh, saya berharap dapat membawa walaupun sedikit perubahan kepada dunia,” katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!