Hanya 12 meter dari saluran paip gas, pembakaran barang lusuh cetus kebimbangan penduduk

Penduduk mendakwa aktiviti pembakaran semakin kerap berlaku kebelakangan ini sehingga mengganggu keselesaan penduduk. Gambar kecil (dari kiri) Rafizal, Khairul Amin dan Noraini
Penduduk mendakwa aktiviti pembakaran semakin kerap berlaku kebelakangan ini sehingga mengganggu keselesaan penduduk. Gambar kecil (dari kiri) Rafizal, Khairul Amin dan Noraini
A
A
A

JOHOR BAHRU - Lebih 10,000 penduduk di empat kampung sekitar Kempas di sini berdepan kebimbangan susulan aktiviti pembakaran barangan lusuh daripada sebuah premis yang didakwa beroperasi secara haram berhampiran saluran paip gas bawah tanah.

Saluran paip gas bawah tanah itu didakwa terletak hanya sekitar 12 meter dari lokasi pembakaran barang lusuh tersebut.

Lokasi pembakaran barang lusuh tersebut didakwa terletak hanya kira-kira 12 meter dari saluran paip gas bawah tanah.
Lokasi pembakaran barang lusuh tersebut didakwa terletak hanya kira-kira 12 meter dari saluran paip gas bawah tanah.

Ketua Kampung Sri Aman, Rafizal Ahmad Razi berkata, penduduk bimbang kejadian letupan seperti insiden kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong, Selangor tahun lalu berulang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, aktiviti pembakaran terbabit didakwa sudah berlarutan lebih setahun dan semakin kerap berlaku sejak seminggu lalu.

"Ramai penduduk membuat aduan ada kepulan asap tebal dari tapak ini bermula jam 7 malam.

"Setiap hari, saya terima aduan penduduk yang bimbang kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah membahayakan kawasan sekitar kerana terdapat saluran paip gas bawah tanah yang berisiko meletup jika pembakaran tidak dikawal," katanya ketika ditemui selepas penduduk menyerbu tapak berkenaan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Serbuan kira-kira jam 10.30 pagi Ahad turut disertai polis dan JAS.
Serbuan kira-kira jam 10.30 pagi Ahad turut disertai polis dan JAS.

Beliau berkata, beberapa aduan telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) serta polis bagi mendapatkan tindakan lanjut.

Katanya, beberapa pihak termasuk SWCorp dipercayai telah melakukan pemeriksaan dan meminta penyewa premis berkenaan mengosongkan tapak terbabit.

"Disebabkan itu, penyewa dikatakan mengambil tindakan membakar barangan tersebut kerana tidak tahu hendak dibawa ke mana, selain barangan lusuh berkenaan juga tidak boleh dijual," katanya.

Sementara itu, penduduk, Khairul Amin Mohamadiah, 35, berkata, keluarganya hidup dalam kebimbangan memandangkan rumah mereka hanya kira-kira 50 meter dari lokasi pembakaran.

Katanya, selain ancaman keselamatan, penduduk turut berdepan pencemaran bau akibat pembakaran barangan seperti kuprum dan getah serta sisa pemprosesan ayam yang tidak diurus dengan baik sehingga mengundang kehadiran lalat.

"Memang risau sangat kalau berlaku apa-apa kepada saluran gas bawah tanah. Baru hari ini juga kita tahu ada penternakan ayam yang dikhuatiri tidak memiliki lesen pemprosesan sembelihan yang sah.

"Kita juga tidak tahu apa akan berlaku pada masa depan, contohnya jika saluran paip gas ini meletup kerana jika perkara itu berlaku, banyak kawasan akan terjejas dan kesihatan penduduk turut terancam," katanya.

Tapak berkenaan dipercayai milik warga Singapura yang disewakan kepada penyewa tempatan bagi menjalankan perniagaan barangan kitar semula.
Tapak berkenaan dipercayai milik warga Singapura yang disewakan kepada penyewa tempatan bagi menjalankan perniagaan barangan kitar semula.

Bagi Noraini Abu Bakar, 32, aktiviti pembakaran itu mengganggu kehidupan penduduk sekitar kerana semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

"Kita rasa takut sebab setiap hari melalui jalan raya ini dan tidak mahu kejadian di Puchong itu berlaku di sini.

"Saya berharap isu ini dapat diatasi segera kerana ia boleh mengancam keselamatan bukan sahaja penduduk setempat, tetapi juga pengguna Jalan Kempas Lama - Seelong," katanya.

Serbuan kira-kira jam 10.30 pagi Ahad turut disertai polis dan JAS yang difahamkan mengeluarkan notis saman kepada penyewa premis terbabit.

Tapak berkenaan dipercayai milik seorang individu warga Singapura yang disewakan kepada penyewa tempatan bagi menjalankan perniagaan barangan kitar semula.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!