India seolah-olah ‘terbelah dua’ dari angkasa

NEW DELHI - India seolah-olah ‘terbelah dua’ apabila imej satelit baharu menunjukkan perbezaan ketara litupan awan di bahagian timur dan selatan negara itu berbanding wilayah barat serta barat laut yang lebih cerah.
Imej berkenaan dirakam satelit cuaca milik Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO), INSAT-3DS, pada 24 September, menggunakan saluran inframerah terma pada panjang gelombang 10.83 mikrometer.
Menurut laporan India Today, imej itu menunjukkan litupan awan tebal meliputi sebahagian besar kawasan tengah, timur dan selatan India, selain merentasi Teluk Bengal serta kawasan sekitarnya.
Sebaliknya, sebahagian Rajasthan, Gujarat dan wilayah barat laut India kelihatan lebih cerah dengan litupan awan yang lebih sedikit.
Kawasan paling terang dalam imej inframerah berkenaan mewakili bahagian atas awan yang lebih sejuk dan tinggi.
Awan sedemikian lazimnya dikaitkan dengan perolakan atmosfera yang kuat serta boleh menghasilkan hujan lebat, khususnya apabila berkait dengan sistem cuaca aktif.
Perbezaan litupan awan itu berlaku ketika lekukan dalam (deep depression) di luar pantai utara Andhra Pradesh dan kawasan bersebelahan selatan Odisha terus bergerak ke kawasan daratan.
Sistem cuaca berkenaan menyebabkan hujan meluas di Odisha, Chhattisgarh dan kawasan berdekatan, dengan Jabatan Meteorologi India (IMD) memberi amaran hujan lebat hingga sangat lebat serta hujan amat lebat terpencil di beberapa kawasan timur dan tengah India.
Ketika sistem berkenaan semakin lemah dan bergerak ke arah barat laut, peredarannya dijangka terus mempengaruhi hujan di beberapa kawasan tengah India.
Imej satelit itu turut menunjukkan jalur awan yang luas di Teluk Bengal dan kawasan sekitarnya, sekali gus memperlihatkan bagaimana kelembapan dibawa masuk ke kawasan daratan India.
Fenomena itu berlaku ketika musim monsun barat daya menghampiri penghujungnya.
Monsun sudah mula berundur dari beberapa kawasan di barat laut India, namun sistem cuaca di Teluk Bengal masih boleh menghasilkan hujan lebat di kawasan tengah dan timur negara itu.
Menurut India Today, ‘pembahagian’ yang kelihatan dalam imej satelit berkenaan bukan sempadan fizikal, sebaliknya mencerminkan perbezaan ketara antara kawasan yang diliputi awan aktif dan perolakan dengan wilayah yang atmosfera lebih kering serta cerah.
Dengan lekukan dalam itu semakin lemah, corak litupan awan dijangka berubah dengan pantas dalam tempoh 24 hingga 48 jam berikutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

