Normalisasi dusta di akhir zaman
Habib Ali Zaenal Abidin tegaskan penipu, pengkhianat diangkat dan dipuja mutakhir ini

DALAM kehidupan yang semakin sarat dengan pelbagai cabaran mendatang, umat Islam perlu sentiasa ingat bahawa dunia bukanlah destinasi terakhir buat manusia.
Sebaliknya kehidupan dunia merupakan tempat untuk diuji sebelum manusia kembali menghadap ALLAH SWT dan menerima balasan atas segala amalan yang dilakukan, sama ada baik atau buruk.
Pendakwah terkenal, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid menjelaskan, Rasulullah SAW sejak awal dakwahnya kepada umat manusia lagi sudah mendidik supaya beriman kepada ALLAH SWT dan hari akhirat.
Menurutnya, kejayaan sebenar bukan diukur berdasarkan pencapaian duniawi seperti memiliki gaji tinggi, pangkat besar atau mendapat pujian manusia.

“Sebaliknya kejayaan menurut Islam ialah apabila seseorang diselamatkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
“Bukanlah pencapaian di dunia menjadi jaminan kejayaan di akhirat, tetapi siapa yang berjaya di akhirat, dia sebenarnya telah mencapai kejayaan yang sebenar.
“Walaupun seseorang itu hanya bekerja sebagai tukang cuci atau pekerja am, jika dia berjaya memperoleh keselamatan di akhirat, itulah kejayaan yang sebenar-benarnya,” jelasnya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Pesanan Rasulullah SAW di akhir zaman sempena Maulid Akbar, Bukit Bendera Berselawat di Masjid Habib, Tanjung Tokong, Pulau Pinang baru-baru ini.
Kiamat semakin dekat
Mengulas tentang hari kiamat, penceramah itu menjelaskan, Rasulullah SAW pernah menggambarkan jarak antara pengutusan Baginda dengan hari kiamat adalah seperti jarak antara jari telunjuk dan jari tengah.
Walaupun jaraknya begitu dekat, hakikatnya tarikh sebenar kiamat itu tidak diketahui manusia, ujarnya.
“Justeru, umat Islam tidak sepatutnya sibuk membuat ramalan tentang bila kiamat akan berlaku, sebaliknya mengambil pengajaran daripada tanda-tanda yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW.
“Persoalan paling penting bukanlah bila kiamat akan berlaku?, tetapi bagaimana keadaan kita apabila kiamat berlaku? Benda yang disembunyikan ALLAH SWT, hanya DIA yang mengetahuinya. Bahkan Rasulullah SAW sendiri tidak mengetahui bila kiamat akan berlaku,” katanya.
Syurga dikelilingi perkara sukar
Beliau menyambung, Rasulullah SAW turut mendidik umat supaya bersabar dalam melaksanakan perintah ALLAH dan meninggalkan segala larangan-NYA.
“Ini kerana jalan menuju syurga bukanlah sesuatu yang mudah. Ia menuntut manusia mengawal anggota badan, menjaga pandangan, memelihara lisan, menghindari penipuan serta menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga, jiran dan masyarakat.

“Syurga ini dikelilingi dengan sesuatu yang sukar. Mata kena jaga, tidak boleh melihat aurat orang lain dan tidak boleh memandang rendah kepada orang lain.
“Tangan juga perlu dijaga. Jangan digunakan untuk menaip komen yang tidak baik di Facebook atau TikTok, jangan menipu dan jangan menggunakan tandatangan palsu untuk sesuatu yang mungkar,” katanya.
Sebaliknya neraka dikelilingi perkara yang berkaitan dengan hawa nafsu seperti ketamakan terhadap harta, rasuah, mencuri dan melakukan perkara haram walaupun terdapat pilihan yang halal.
Dusta jadi perkara biasa
Dalam pada itu, antara tanda akhir zaman yang perlu diberi perhatian ialah berlakunya kekeliruan dalam menilai kebenaran dan kebatilan.
Menurut beliau, Rasulullah SAW memberi gambaran bahawa akan tiba suatu zaman apabila pendusta dipercayai, manakala orang yang benar dianggap sebagai pendusta.

“Begitu juga pengkhianat dianggap amanah, sedangkan orang yang amanah pula dilabel sebagai pengkhianat.
“Keadaan itu menggambarkan berlakunya perubahan ukuran dalam masyarakat sehingga perkara yang salah boleh dianggap benar hanya kerana ia dipercayai oleh ramai orang.
“Apabila dusta tersebar luas, masyarakat akhirnya tidak lagi melihat ia sebagai dusta. Apabila pengkhianatan menjadi perkara biasa, orang yang amanah pula boleh dianggap pelik,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa normalisasi kemungkaran boleh memberi kesan kepada generasi akan datang apabila sesuatu yang salah tidak lagi dilihat sebagai kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

