Tak serik ditahan ingkar PKP

Antara pesalah yang dibawa untuk didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk ingkar PKP dan penyalahgunaan dadah di Mahkamah Majistret Marang hari ini.
Antara pesalah yang dibawa untuk didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk ingkar PKP dan penyalahgunaan dadah di Mahkamah Majistret Marang hari ini.
A
A
A

MARANG - Tidak serik dikenakan kompaun RM1,000 akibat ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang remaja lelaki sekali lagi ditahan kerana selepas mengulangi kesalahan sama, pada 16 April lalu.

Remaja berusia 18 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas merasai pengalaman tidur di dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini selama tiga malam ketika dalam tahanan reman.

Tertuduh yang beralamat dari Kampung Baru Kelulut, di sini mengaku salah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dengan memberi alasan hanya keluar sekejap ke rumah rakannya untuk membeli rokok.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah bergerak dari Kampung Baru Kelulut, di sini, ke suatu tempat yang lain iaitu di tepi jalan Kampung Gong Merawang, di sini pada jam 10.45 malam.

Dengan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 3 (1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1), peraturan yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Mahkamah seterusnya menetapkan 23 Jun depan untuk tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain membenarkan dia dijamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah sama, tiga lelaki berusia antara 21 hingga 37 tahun masing-masing didenda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Artikel Berkaitan:

Keputusan dibuat selepas mereka mengaku salah ingkar PKP dengan bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain di Jalan Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, di sini dan di tepi jalan Batu 10, Bukit Payong, di sini antara jam 2 petang dan 10.45 malam, pada 16 April lalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, L Shantini di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.