Bekas CEO, penjawat awam ditahan SPRM berkaitan lombong emas

KOTA KINABALU - Seorang penjawat awam dan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki meminta serta menerima rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan memudahkan operasi perlombongan emas sebuah syarikat di negeri ini.
Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 60-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu, kira-kira jam 10 pagi, Rabu.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara 2024 dan 2025.
Mereka juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan 17 (b) Akta SPRM 2009.
"Kedua-dua suspek akan dituduh pada Isnin depan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
