Majlis Raja-Raja dimohon bertindak selesaikan krisis institusi Diraja Negeri Sembilan

SEREMBAN - Majlis Raja-Raja diharap dapat meneliti proses krisis institusi Diraja Negeri Sembilan yang sedang berlaku mengikut peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Barisan peguam adat Melayu Negeri Sembilan dalam kenyataan media berkata, peranan Majlis Raja-Raja diperlukan untuk menilai dan memberi nasihat berhubung krisis yang berlaku.
"Kami berpandangan bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai kedudukan istimewa dalam sistem pemerintahan negara apabila sesuatu isu menyentuh kedudukan, keistimewaan dan kehormatan institusi raja.
"Justeru, kami menyembah mohon limpah perkenan Majlis Raja-Raja agar meneliti proses yang telah berlaku bagi menilai dan memberi nasihat sama ada setiap tindakan yang diambil, khususnya berkaitan penurunan takhta dan penggantian Yang di-Pertuan Besar serta Undang Luak, telah dilaksanakan menurut peruntukan UUTKNS 1959," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, rakyat perlu memahami persembahan mohon nasihat Majlis Raja-Raja ini wajar dibezakan daripada percubaan mengambil alih fungsi pihak berkuasa negeri di bawah UUTKNS 1959.
Ujarnya, melalui kaedah berkenaan, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja tidak menggantikan fungsi badan berkuasa berkenaan, sebaliknya berperanan meneliti semula, memberi nasihat dan memastikan proses yang berlaku menepati kehendak undang-undang.
"Peranan ini boleh dilihat sebagai sebahagian daripada tafsiran jaminan Persekutuan di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam keadaan yang telah mencapai tahap kritikal seperti sekarang.
"Kami turut menekankan bahawa fungsi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan adalah berbeza daripada peranan pihak berkuasa negeri dalam menjalankan prerogatif dan kuasa mengikut kerangka perlembagaannya sendiri," katanya.
Pihaknya juga menegaskan bahawa pihak berkuasa Persekutuan seperti Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara tidak sewajarnya campur tangan dalam urusan kenaikan atau penurunan takhta yang telah pun diperuntukkan secara khusus di bawah UUTKNS 1959, apatah lagi untuk menyatakan pengiktiran secara semberono tanpa memahami fakta dan situasi sebenar dan mengambil pendirian berpihak.
Justeru mereka berharap penelitian oleh Majlis Raja-Raja dapat dilaksanakan secara adil dan saksama serta secepat mungkin bagi memelihara hak raja dan keutuhan UUTKNS seperti mana dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Kami ingin menegaskan bahawa sebarang penilaian terhadap krisis yang melibatkan kedudukan raja pemerintah Negeri Sembilan wajar dilakukan berasaskan penelitian menyeluruh terhadap kronologi sebenar peristiwa, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
"Krisis ini tidak wajar dinilai semata-mata berdasarkan perkembangan terkini, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu rangkaian peristiwa bermula daripada mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 5 Mac 2026, diikuti perkembangan pada 17 April 2026, sehinggalah kepada keputusan empat Undang pada 19 April 2026," katanya.
Justeru ujar mereka, mana-mana pihak yang mendakwa mempertahankan institusi Raja Negeri Sembilan tidak wajar mengamalkan sebarang bentuk diskriminasi layanan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang-Undang Luak yang terbabit.
Barisan Peguam Adat Melayu Negeri Sembilan terdiri daripada Emirul Sarifudin Nor Azmi, Asmawi Ismail dan Deidra Nur Azmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


