Syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd pembekal MyKad, pasport Malaysia antarabangsa

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan tiada sebarang ikatan kontrak dengan Syarikat NexG Bhd dalam pembekalan kad pengenalan MyKad dan Pasport Malaysia Antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagaimapun berdasarkan semakan, KDN mempunyai lima kontrak aktif dengan syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd yang melibatkan pembekalan dokumen keselamatan negara.
Menurut beliau, antaranya adalah perkhidmatan penyelenggaraan pusat pengeluaran kad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bernilai RM 111,836,242.79, pembekalan kad mentah MyKad, MyTentera, MyPoCA dan bahan habis guna untuk JPN (RM 732,720,000) dan perkhidmatan mereka bentuk, mencetak, membekal dan menghantar pelbagai dokumen keselamatan JPNM (Pelanjutan) ( RM 22,833,360.50).
" Selain itu, perolehan pembekalan Passport Malaysia Antarabangsa (PMA) untuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ( RM 1,728,000,000) dan pembekalan kad PKekerja Asing (i-KAD) JIM ( RM140,000,000).
"Bagi memastikan kestabilan bekalan dokumen pengenalan diri, KDN melalui JIM dan JPN akan membuat pemantauan bekalan dan mengamalkan sistem unjuran stok (stock forecasting) secara bulanan.
"Sekiranya terdapat gangguan rantaian bekalan, pelan kontingensi akan diaktifkan serta-merta bagi mengelakkan implikasi ke atas sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat," katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Yeo Bee Yin (Puchong) meminta Saifuddin memperincikan semua kontrak aktif serta nilai kontrak dalam pembekalan pasport antarabangsa, MyKad dan dokumen keselamatan lain yang dipegang oleh NexG Bhd.
Tambah Saifuddin, semua data sensitif dan pangkalan data MyKad adalah milik mutlak kerajaan Malaysia dan dihoskan sepenuhnya di pusat data berkeselamatan tinggi milik kerajaan.
Jelasnya, syarikat yang terlibat juga diwajibkan melepasi tapisan keselamatan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
"Ia bagi memastikan pematuhan keselamatan yang ketat serta mengelakkan sebarang risiko ketirisan atau penyalahgunaan data peribadi rakyat oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Bagi PMA, keselamatan data pemegang pasport diperkukuh melalui penggunaan ciri-ciri keselamatan fizikal dan elektronik yang mematuhi piawaian International Civil Aviation Organization (ICAO).
"Maklumat pemegang pasport dilindungi melalui penggunaan dua lapisan cetakan keselamatan pada halaman biodata, manakala data cip elektronik pasport dikodkan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia melalui prosedur yang terkawal dan selamat," ulasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

