'Live' jadi medan perang buka aib, caci maki

Pada pandangan Merak Jalanan, tidak semua perkara wajar dikongsikan ketika ‘live’ dan tidak semua aib perlu dijaja semata-mata untuk meraih tontonan. Foto hiasan
Pada pandangan Merak Jalanan, tidak semua perkara wajar dikongsikan ketika ‘live’ dan tidak semua aib perlu dijaja semata-mata untuk meraih tontonan. Foto hiasan
A
A
A

LIVE streaming kini bukan lagi sekadar ruang untuk berkongsi rutin harian, berniaga atau berinteraksi dengan pengikut, sebaliknya menjadi medan perang untuk memaki hamun, membuka aib dan menjadikan konflik peribadi sebagai tontonan umum.

Merak Jalanan lihat sesi ‘live’ dengan kandungan yang merapu dan tiada faedah kini kian menjadi-jadi.

Lebih menghairankan, makian dan aib yang dibuka kepada umum pula menjadi ‘umpan’ meraih ribuan tontonan, seolah-olah konflik peribadi sudah bertukar menjadi sebuah rancangan hiburan.

Apabila cerita kian panas, ruangan komen pula bertambah rancak. Ada yang menyokong, ada yang mengecam dan tidak kurang juga yang meminta sambungan cerita.

Tidak kurang juga kisah pihak bertelagah yang saling berbalas ‘kisah dalam kain’, masing-masing membuka cerita dan membongkar aib sehingga konflik peribadi bertukar menjadi tontonan bersiri.

Satu cerita belum sempat reda, muncul pula cerita baharu hingga membuatkan episod drama ‘sebar aib’ seolah-olah tiada penghujung.

Dalam mengejar perhatian, ada yang terlupa di sebalik skrin itu wujud manusia sebenar yang mempunyai keluarga, pekerjaan dan kehidupan sendiri yang turut terkesan dek pendedahan hal peribadi.

Apa yang bermula sekadar luahan emosi akhirnya tular. Pada pandangan Merak Jalanan, tidak semua perkara wajar dikongsikan ketika ‘live’ dan tidak semua aib perlu dijaja semata-mata untuk meraih tontonan.

Jika setiap masalah peribadi mahu dibuka kepada umum, apa lagi bezanya antara ruang privasi dengan pentas hiburan?

Artikel Berkaitan:

Mungkin kita terlalu ghairah mengejar ‘view’ sehingga terlupa bahawa maruah manusia bukan bahan kandungan untuk tatapan umum.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!