Suami maut ditikam isteri

Anton (kiri), maut ditikam isterinya, Deka Ayu (kanan) pada Isnin. - Foto Agensi
Anton (kiri), maut ditikam isterinya, Deka Ayu (kanan) pada Isnin. - Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA – Seorang penjawat awam maut selepas dipercayai ditikam isterinya berhampiran pejabatnya di Kabupaten Ogan Komering Ilir (OKI), Sumatera Selatan pada Isnin ketika pasangan itu dilaporkan sedang dalam proses perceraian.

Mangsa, Anton, 32, yang bertugas di Inspektorat Kabupaten OKI (badan pengawasan dalaman kerajaan daerah) dilaporkan diserang berhampiran kompleks masjid kerajaan tempatan selepas menunaikan solat Zuhur.

Isterinya, Deka Ayu, 30, kemudian ditahan di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis OKI, Iptu M Raka Dwi Darma mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan wanita berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes masih disiasat. Pelaku kini sudah ditahan pihak polis,” katanya.

Menurut laporan TribunSumsel.com, pasangan berkenaan sedang melalui proses perceraian selepas rumah tangga mereka dikatakan berdepan masalah sejak sekian lama.

Abang mangsa yang enggan dikenali mendakwa Anton sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga sejak kira-kira sebulan selepas berkahwin.

Menurutnya, mangsa sudah tidak tahan dengan keadaan tersebut sebelum mengambil keputusan tinggal berasingan sejak sebulan lalu dan memfailkan perceraian.

Keluarga mangsa mendakwa penolakan terhadap perceraian itu mungkin menjadi antara faktor yang mencetuskan kejadian, namun perkara tersebut belum disahkan polis.

Artikel Berkaitan:

Seorang saksi dikenali sebagai Maman berkata, dia melihat Anton terbaring berlumuran darah ketika tiba di lokasi kejadian.

Mangsa dilaporkan mengalami beberapa kesan tikaman pada tubuh sebelum mayatnya dibawa ke hospital.

Rakaman video yang tular di media sosial turut menunjukkan seorang wanita ditahan beberapa individu di lokasi kejadian sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan.

Polis kini mengumpulkan keterangan saksi dan menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan kronologi serta motif sebenar kejadian. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!