Gempa Batu Pahat peringatan sesar lama boleh aktif semula

Laporan Sinar Harian mengenai kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 di Perairan Batu Pahat pada petang Selasa. Foto kecil: Muhd Nur Ismail
Laporan Sinar Harian mengenai kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 4.4 di Perairan Batu Pahat pada petang Selasa. Foto kecil: Muhd Nur Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kejadian gempa bumi yang kerap dicatatkan di Johor menunjukkan sesar-sesar lama di Semenanjung Malaysia berpotensi aktif semula akibat tekanan tektonik serantau.

Pensyarah Geosains Marin, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Muhd Nur Ismail Abdul Rahman berkata, kedudukan Semenanjung Malaysia dalam Plat Sunda menyebabkan tekanan daripada pergerakan plat di kawasan sekitarnya boleh mempengaruhi kerak bumi.

Menurut beliau, tekanan tersebut boleh terkumpul pada sesar lama sebelum menyebabkan pergerakan semula dan menghasilkan gempa tempatan.

"Johor sebenarnya bukan kawasan yang mempunyai aktiviti gempa setinggi Sabah atau Sumatera, namun Semenanjung Malaysia berada dalam plat tektonik dan tekanan yang diterima boleh mengaktifkan sesar lama walaupun dianggap relatif stabil.

"Istilah semakin 'kerap' perlu dilihat dalam konteks jangka masa yang lebih panjang. Ia mungkin menunjukkan peningkatan aktiviti yang dapat dikesan, tetapi tidak semestinya bermaksud Johor sedang mengalami perubahan besar kepada rejim tektoniknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Muhd Nur Ismail berkata, gempa bumi tidak hanya berlaku di sempadan plat atau kawasan Lingkaran Api Pasifik kerana Semenanjung berada dalam kawasan intraplate iaitu bahagian dalam Plat Sunda.

"Tekanan daripada pergerakan plat di kawasan sekitarnya, khususnya sistem subduksi Sumatera, masih boleh dipindahkan ke dalam kerak bumi Semenanjung dan tekanan terkumpul pada sesar-sesar lama menyebabkan ia bergerak semula.

"Sebab itu kita mempunyai rekod gempa tempatan di beberapa negeri seperti Bukit Tinggi, Kuala Pilah, Tasik Kenyir dan Temenggor, walaupun kawasan-kawasan tersebut bukan berada di sempadan plat aktif seperti Sumatera atau Jepun," jelasnya.

Beliau berkata, satu analisis seismologi seperti mekanisme fokus, kedudukan hiposentrum dan korelasi dengan pemetaan sesar bawah permukaan diperlukan bagi mengenal pasti zon sesar atau struktur geologi yang berpotensi mengalami reaktivasi.

Artikel Berkaitan:

"Untuk gempa Batu Pahat ini, kita tidak boleh terus menyimpulkan bahawa ia berlaku tepat pada satu sesar tertentu hanya berdasarkan lokasi episentrum.

"Apa yang kita tahu ialah Semenanjung mempunyai beberapa sesar lama yang masih boleh mengalami reaktivasi apabila menerima tegasan tektonik berikutan kajian terdahulu telah menunjukkan bahawa sesar yang dianggap dormant boleh diaktifkan semula," katanya lagi.

Ditanya mengenai risiko lebih kuat selepas ini, Muhd Nur Ismail berkata, kewujudan gempa tempatan menunjukkan risiko seismik di Semenanjung bukan sifar.

Katanya, rekod gempa di Semenanjung menunjukkan magnitud sehingga sekitar Mw 5.4 dalam katalog kajian 1922–2020.

"Magnitud dan potensi sesuatu zon sesar bergantung kepada panjang sesar, keadaan tegasan, mekanisme sesar dan ciri kerak bumi setempat.

"Jadi mesej utamanya ialah gempa Batu Pahat lebih tepat dilihat sebagai peringatan bahawa sesar-sesar lama dalam kerak Semenanjung masih boleh mengalami reaktivasi dan pemantauan seismik serta pemetaan sesar perlu diteruskan," ujarnya lagi.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!