MIHAS 2026: INSP hubungkan 450 pembeli antarabangsa dengan 600 pengeksport tempatan

Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) bersama pegawai MATRADE ketika meninjau INSP Hall dan berinteraksi dengan pembeli serta penjual di MIHAS 2026 pada Rabu.
Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (tengah) bersama pegawai MATRADE ketika meninjau INSP Hall dan berinteraksi dengan pembeli serta penjual di MIHAS 2026 pada Rabu.
A
A
A

PAMERAN Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 membuka tirai hari pertama menerusi program utamanya International Sourcing Programme (INSP) yang menghubungkan kira-kira 450 pembeli antarabangsa dengan 600 pengeksport Malaysia.

Program berkenaan memudah cara lebih 4,000 pertemuan perniagaan yang telah dijadualkan antara pengeksport tempatan dan pembeli antarabangsa dari 58 ekonomi termasuk 50 pembeli premium terdiri daripada pelbagai syarikat global terkemuka.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penyertaan pembeli premium memberi peluang lebih besar kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan untuk memperluas pasaran eksport terutama bagi produk dan perkhidmatan halal bernilai tinggi.

Menurut beliau, INSP yang menjadi antara program utama dan ‘jiwa’ MIHAS bukan sekadar mempertemukan pembeli dengan pengeksport malah membuka ruang kepada perniagaan tempatan untuk membina hubungan dengan pasaran global.

“Penyertaan 50 pembeli premium terdiri daripada pelbagai syarikat global terkemuka dalam INSP menyediakan platform terbaik yang membolehkan produk PMKS berkualiti tinggi menembusi pasaran eksport lebih luas.

“Pada masa sama, kita bukan hanya menyediakan ruang dan peluang tetapi juga mahu membina kapasiti PMKS agar mampu bersaing dan bertahan dalam pasaran,” katanya ketika ditemui media di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur pada Rabu.

Beliau berkata, pembeli premium mewakili hampir RM700 bilion dalam jumlah hasil tahunan gabungan, dengan permintaan merangkumi pelbagai bidang termasuk makanan dan minuman (F&B), bahan ramuan khusus, bioteknologi, kewangan Islam, logistik dan pendidikan.

MIHAS 2026 bukan sekadar pameran biasa sebaliknya platform yang menyediakan ekosistem lengkap berkaitan industri halal global.
MIHAS 2026 bukan sekadar pameran biasa sebaliknya platform yang menyediakan ekosistem lengkap berkaitan industri halal global.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kepelbagaian permintaan itu turut membuka ruang untuk Malaysia memperluas eksport dalam sektor berasaskan perkhidmatan dan mengukuhkan penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, PMKS tempatan perlu memanfaatkan sepenuhnya INSP berikutan permintaan antarabangsa terhadap produk dan perkhidmatan halal berkualiti tinggi dari Malaysia.

“INSP sentiasa menjadi pemangkin kepada perniagaan tempatan untuk menembusi rangkaian perdagangan global bernilai tinggi sekali gus membuka lebih banyak peluang dan memacu pertumbuhan eksport secara mampan dalam jangka panjang,” katanya.

Program berkenaan dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan MIHAS menerusi padanan perniagaan B2B yang mempertemukan pengeksport dengan pembeli global yang telah dikenal pasti dan mempunyai keperluan pembelian.

INSP turut memberi peluang kepada pengeksport tempatan mendapatkan pesanan eksport ketika pasaran halal global dijangka berkembang menuju AS$10 trilion menjelang 2030.

Reezal Merican berkata, MIHAS 2026 bukan sekadar pameran biasa sebaliknya sebuah platform yang menyediakan ekosistem lengkap berkaitan industri halal global.

Istimewanya, MIHAS 2026 turut menyediakan setiap peserta berdaftar dengan ejen kecerdasan buatan (AI) khusus serta sokongan yang diperibadikan bagi membantu mereka mengenal pasti peluang perniagaan, berinteraksi dengan pempamer dan membina hubungan yang relevan.

INSP secara bersemuka berlangsung pada 23 September 2026 manakala sesi INSP secara dalam talian berlangsung dari 1 April hingga 30 November 2026.

Selain pertemuan B2B secara bersemuka, sehingga 150 pembeli antarabangsa turut menyertai program secara dalam talian untuk menjalankan urusan perniagaan dengan pengeksport tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!