Indonesia 'lawan' api habis-habisan

PONTIANAK – Indonesia terus mempergiat usaha memadam kebakaran hutan di Pulau Borneo dan Sumatera dengan mengerahkan puluhan pesawat dan ribuan anggota, namun operasi itu masih berdepan pelbagai cabaran.
Sejak beberapa minggu lalu, pasukan bomba telah berhempas-pulas mengawal api daripada terus merebak di Pulau Borneo dan Sumatera yang telah mencetuskan jerebu tebal di sebahagian kawasan Indonesia dan negara jiran, Malaysia serta Singapura.
Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya, berkata operasi bersepadu itu melibatkan pengerahan kira-kira 64 pesawat dan 54,000 anggota sejak bulan lalu.
“Dari udara hingga ke darat, seluruh kekuatan terus digerakkan. Segala usaha dilakukan bagi memadam kebakaran, mengurangkan kesan asap dan paling penting adalah melindungi orang awam.
“Keluasan wilayah dan keadaan tanah gambut yang mencabar menjadi antara faktor yang menyukarkan operasi itu,” ujarnya.
Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kalimantan Barat, Daniel Sinyor menjelaskan api yang merebak pada kedalaman berbeza di dalam tanah gambut turut menyukarkan usaha pemadaman.
“Cabaran lain ialah sumber air yang terhad untuk pasukan di darat,” tambahnya.
Pada minggu lalu, komuniti setempat dan organisasi masyarakat sivil di Kalimantan Barat memfailkan saman tindakan kelas terhadap kerajaan termasuk Presiden Prabowo Subianto dan Gabenor Ria Norsan atas dakwaan gagal mencegah kebakaran.
“Ia bukan bencana baharu kerana berlaku setiap tahun. Corak berulang ini menunjukkan defendan mengetahui potensi berlakunya bencana jerebu dan risiko kebakaran hutan dan tanah pertanian,” kata peguam kumpulan berkenaan, Glorio Sanen.
Indonesia berdepan kebakaran hutan setiap tahun ketika musim kemarau yang lazimnya dari Julai hingga Oktober.
Bagaimanapun, kebakaran pada 2026 berlaku ketika fenomena iklim El Nino yang dijangka mencapai intensiti luar biasa.
Pakar turut mengaitkan keadaan itu dengan perubahan iklim, kemerosotan hutan selama berdekad-dekad dan amalan pembukaan tanah secara tebas dan bakar yang mengubah landskap semula jadi yang sebelum ini lebih rentan terhadap kebakaran.
Data pemerintah menunjukkan, lebih 202,000 hektar tanah terbakar di seluruh negara antara Januari hingga Julai 2026.
Projek Nusantara Atlas pula menganggarkan keluasan kawasan musnah dijilat api mencecah hampir 300,000 hektar bagi tempoh sama manakala jumlah keseluruhan kawasan terjejas dianggarkan hampir 896,000 hektar termasuk pada Ogos. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

