Indonesia rekod 1,437 titik panas, jerebu rentas sempadan merebak

Kebakaran hutan dan tanah masih berlaku di beberapa kawasan di Indonesia, khususnya Kalimantan. Foto: AFP
Kebakaran hutan dan tanah masih berlaku di beberapa kawasan di Indonesia, khususnya Kalimantan. Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Kebakaran hutan dan tanah masih berlaku di beberapa kawasan di Indonesia, khususnya Kalimantan dengan 1,437 titik panas dikesan di seluruh negara ketika jerebu rentas sempadan merebak ke negara jiran.

Pegawai Kementerian Perhutanan Indonesia, Lusiana Martapuri berkata Kalimantan Tengah merekodkan jumlah tertinggi dengan 689 titik panas setakat malam Isnin, diikuti Kalimantan Barat sebanyak 203, Sumatera Selatan 116, Kalimantan Selatan 112 dan Jambi di Sumatera sembilan.

Beliau berkata, pemantauan terkini tidak mengesan sebarang titik panas di Riau, manakala operasi pemadaman kini tertumpu di Kalimantan, khususnya Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat.

"Secara umum, keadaan kualiti udara di Indonesia masih berbeza-beza, dengan kebanyakan kawasan berada pada kategori baik hingga sederhana, walaupun beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan masih mencatatkan bacaan tidak sihat hingga sangat tidak sihat, malah berbahaya di kawasan tertentu,” kata beliau dalam video yang dimuat naik di media sosial kementerian pada Selasa.

Di Malaysia, 38 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara pada paras tidak sihat setakat 9 pagi Selasa, manakala Pusat Meteorologi Khas ASEAN melaporkan jerebu rentas sempadan pada tahap sederhana di Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Singapura turut mencatatkan kualiti udara tidak sihat di kelima-lima wilayahnya, ketika kepulan asap sederhana hingga tebal daripada kebakaran di Kalimantan dikesan merebak ke arah negara itu, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan.

Mengenai usaha pemadaman, Lusiana berkata 53 pesawat masih dikerahkan, termasuk 34 bagi operasi "water bombing” dan 19 untuk rondaan udara, selain operasi pembenihan awan.

Operasi dari udara turut diperkukuh dengan tiga helikopter CH-47 Chinook dari Jepun bagi membantu kerja pemadaman, manakala pasukan darat meneruskan usaha memadam kebakaran, mencegah api daripada merebak, memadam sisa bara serta menyejukkan kawasan terjejas. - Bernama 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!