Tiga kampung dilanda banjir kilat

Anggota APM menjalankan pemantauan susulan banjir kilat yang melanda tiga kampung sekitar Pekan Nanas, Pontian petang Selasa.
Anggota APM menjalankan pemantauan susulan banjir kilat yang melanda tiga kampung sekitar Pekan Nanas, Pontian petang Selasa.
A
A
A

PONTIAN - Kira-kira 20 rumah di tiga kampung sekitar Pekan Nanas dekat sini, dinaiki air akibat hujan lebat berterusan petang Selasa.

Tiga lokasi terjejas akibat banjir kilat yang berlaku kira-kira jam 3 petang itu ialah Kampung Parit Pasir, Kampung Paya Embun dan Kampung Melayu Raya.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Pontian dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada Pegawai Pertahanan Awam Daerah (PPAD) pada jam 3.10 petang berhubung kejadian di Kampung Parit Pasir.

Susulan itu, empat anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan dan tindakan berkaitan.

Menurutnya, keadaan air bagaimanapun sudah surut ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi.

"Air di lokasi terbabit sudah surut selepas aliran takungan air dibuka ke parit menggunakan jengkaut JCB.

"Tiada bacaan ketinggian air direkodkan berikutan air sudah surut ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi," katanya.

PKOD Pontian memaklumkan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka susulan kejadian banjir kilat itu setakat ini.

Keadaan di kawasan terjejas turut dipantau bagi memastikan keadaan kembali terkawal selepas hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tiada laporan mengenai mangsa dipindahkan diterima setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!