X

Kindly register in order to view this article
!

12 lelaki ditahan dalam 'Op Parti Liar'

Anggota polis sedang menyoal siasat individu yang ditahan dalam 'Op Parti Liar' di sebuah kondominium di Brickfields, semalam.
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 12 lelaki ditahan dalam serbuan ‘Op Parti Liar’ di sebuah kondominium di Jalan Ang Seng, Brickfields, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd [email protected] Hilmi berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah Brickfields menyerbu sebuah kondominium pada jam 1.10 pagi.

“Kesemua individu yang ditahan itu berusia 17 hingga 33 tahun, kita turut merampas empat paket disyaki dadah jenis ganja yang dianggarkan seberat 9.5 gram,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Zairulnizam berkata, hasil siasatan awal mendapati salah seorang suspek yang ditahan itu telah menyewa kondominium berkenaan melalui panggilan telefon dan membuat bayaran secara dalam talian dengan bayaran RM178 untuk satu malam.

“Tujuan ‘private party’ itu adalah untuk berhibur dan minum bersama kawan-kawan.

"Kita juga mendapati dadah yang dirampas itu telah dibawa oleh salah seorang suspek yang dibeli daripada seorang lelaki lain dengan harga RM10 untuk satu paket,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh daripada 12 suspek positif dadah.

“Kesemua suspek direman lima hari bermula semalam sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Sementara itu semua suspek dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit ((Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!