SPRM-PERKESO bongkar tuntutan palsu RM9 juta

Pegawai SPRM menjalankan siasatan menerusi Op Daya pada tahun ini. Foto: SPRM
Pegawai SPRM menjalankan siasatan menerusi Op Daya pada tahun ini. Foto: SPRM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan ke atas kes tuntutan palsu Daya Kerjaya 2.0 hasil kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi operasi sejak 9 Jun lalu kini mencapai hasil positif.

SPRM memaklumkan, kes terbabit kini di peringkat pertuduhan.

"Setakat 4 September lalu, sebanyak 108 tangkapan terdiri daripada 11 ejen dan 97 pemilik syarikat telah dilakukan.

"Sebanyak 133 pertuduhan telah disyorkan dan daripada jumlah itu, seramai 54 individu telah dituduh.

"Nilai rampasan dan sitaan terkini terdiri daripada harta alih iaitu emas, wang tunai dan lain-lain bernilai RM99,348.00, manakala pembekuan 36 akaun bank dengan jumlah wang keseluruhan sebanyak RM463,076.92," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah suruhanjaya itu, langkah pencegahan yang disaran Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM kepada PERKESO bagi menangani isu seleweng ini ialah penguatkuasaan, pemulihan kerugian, pengukuhan kawalan dalaman, penambahbaikan dasar serta pemantauan berterusan.

Sebagai rekod, sejak 2024 hingga 2025, SPRM menerima maklumat sebanyak 143 syarikat telah dikenal pasti mengemukakan permohonan palsu kepada PERKESO bagi mendapatkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 melibatkan 320 pekerja dengan nilai tuntutan kira-kira RM9 juta.

"Pada November 2025, Bahagian Perisikan SPRM telah membangunkan maklumat ini melalui kaedah Intelligence Based Investigation (IBI) dengan analisis dan pengumpulan data daripada pelbagai sumber.

"Maklumat tersebut disemak silang dengan tuntutan di PERKESO, rekod syarikat dan individu serta hubungan antara ejen, majikan dan pekerja," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dedah SPRM, setelah lapan bulan risikan dan siasatan, tangkapan telah dibuat pada 9 Jun lalu menerusi operasi bersepadu Op Daya antara SPRM dengan PERKESO.

Kata SPRM, kerjasama daripada PERKESO menghasilkan kejayaan operasi ini.

"Pihak PERKESO juga sentiasa komited untuk melaksanakan penambahbaikan bagi menutup ruang dan peluang sebarang kelemahan yang ada demi memastikan kes sebegini tidak berulang pada masa akan datang," ujarnya.

Pencegahan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya mempunyai kerangka tadbir urus dan prosedur operasi standard (SOP) yang kukuh sebagai mekanisme pencegahan dan kawalan.

Menurut beliau, antaranya termasuk Polisi Anti-Fraud, Polisi Anti-Rasuah serta pelaksanaan Anti-Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001:2016.

"Kesemua mekanisme ini menjadi tunjang kepada sistem pemantauan, pengesanan dan pengurusan risiko bagi memastikan setiap tuntutan diteliti secara telus, berintegriti dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Mohammed Azman berkata, PERKESO turut melaksanakan pemantauan secara berterusan terhadap semua jenis tuntutan dan inisiatif yang dikendalikan.
Mohammed Azman berkata, PERKESO turut melaksanakan pemantauan secara berterusan terhadap semua jenis tuntutan dan inisiatif yang dikendalikan.

"PERKESO turut melaksanakan pemantauan secara berterusan terhadap semua jenis tuntutan dan inisiatif yang dikendalikan.

"Sekiranya terdapat petunjuk atau bukti berlakunya unsur penipuan, pemalsuan atau salah laku, siasatan terperinci akan dijalankan dan kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk SPRM atau Polis Diraja Malaysia, mengikut bidang kuasa masing-masing untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, selain kes pemalsuan tuntutan insentif Daya Kerjaya 2.0, PERKESO juga mengesan serta menyiasat beberapa kes yang disyaki melibatkan penipuan dalam tuntutan faedah lain termasuk tuntutan hilang upaya.

"Bagaimanapun, kes-kes tersebut melibatkan siasatan yang berasingan dan berada pada peringkat siasatan berbeza," ujarnya.

Jelasnya, jika kes tuntutan palsu gagal ditangani secara berkesan, implikasinya bukan sahaja memberi kesan kepada PERKESO, malah menjejaskan kemampanan dana keselamatan sosial negara serta menghakis keyakinan masyarakat.

Kata beliau, ini meliputi ketirisan dana keselamatan sosial serta kelestarian kewangan PERKESO.

"Pembayaran faedah kepada pihak yang tidak layak akan menyebabkan dana keselamatan sosial digunakan secara tidak wajar, malah dana yang sepatutnya disalurkan kepada pencarum dan orang berinsurans yang benar-benar layak akan berkurangan.

"Tuntutan palsu yang berterusan boleh meningkatkan perbelanjaan faedah secara tidak terkawal, sekali gus memberi tekanan terhadap kedudukan kewangan dana keselamatan sosial dan menjejaskan keupayaan PERKESO memenuhi obligasi kepada pencarum pada masa hadapan," ujarnya.

Kepercayaan

Mengulas berkenaan impak kepada keyakinan masyarakat, Mohammed Azman berkata, kegagalan membendung penipuan boleh menjejaskan kepercayaan pencarum, majikan dan orang awam terhadap integriti sistem keselamatan sosial serta kredibiliti PERKESO sebagai agensi pelaksana.

”Sekiranya pelaku tidak dikenakan tindakan sewajarnya, keadaan ini boleh menjadi dorongan kepada pihak lain untuk melakukan kesalahan yang sama kerana menganggap risiko untuk dikesan adalah rendah hingga meningkatkan risiko jenayah penipuan berulang.

”Tuntutan palsu boleh menyebabkan kelewatan dalam pemprosesan tuntutan yang sah kerana sumber manusia dan masa perlu digunakan untuk menyiasat serta mengendalikan kes-kes penipuan sekali gus menjejaskan keadilan kepada penerima yang layak,” ujarnya.

Tambahnya, kesan lain yang berlaku ialah peningkatan kos operasi dan siasatan.

”PERKESO perlu memperuntukkan lebih banyak sumber bagi tujuan pengauditan, siasatan, tindakan perundangan dan pemulihan kerugian yang akhirnya meningkatkan kos pentadbiran organisasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, PERKESO turut memberi amaran tegas kepada anggota serta orang awam agar tidak bersekongkol, bersubahat atau terlibat dalam apa jua bentuk kerjasama dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penipuan tuntutan faedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!