Jerebu: 32 kawasan catat IPU tidak sihat

Sebanyak 32 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 5 petang ini. - FOTO: Mohd Halim Abdul Wahid
Sebanyak 32 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 5 petang ini. - FOTO: Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 32 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 5 petang ini.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), bacaan tertinggi dicatatkan di Johan Setia, Selangor (183), manakala empat lagi kawasan di negeri itu turut merekodkan IPU tidak sihat, iaitu Shah Alam (169), Petaling Jaya (162), Banting (161) dan Klang (159).

Sarawak pula merekodkan jumlah kawasan dengan kualiti udara tidak sihat tertinggi, iaitu lapan kawasan, meliputi Kuching (174), Samarahan (167), IPD Serian (166), Sibu (162), Bintulu (161), Sarikei (155), Sri Aman (154) dan Kapit (153).

Di Perak, kawasan terjejas ialah Seri Manjung (172), Tasek Ipoh (160), Tanjung Malim (153) dan Pegoh Ipoh (111), manakala Johor melibatkan kawasan Segamat (160), Tangkak (158), Batu Pahat (153) dan Kluang (152).

Sementara itu, Negeri Sembilan merekodkan tiga kawasan pada tahap tidak sihat, iaitu Nilai (175), Seremban (165) dan Port Dickson (153), manakala Melaka melibatkan Alor Gajah (160), Bukit Rambai (158) serta Bandaraya Melaka (136).

Putrajaya pula mencatatkan IPU 172, dengan bacaan hampir sama turut direkodkan di Batu Muda (167) dan Cheras (165) di ibu negara.

Selain itu, dua kawasan di Pahang turut mencatatkan IPU tidak sihat, iaitu Temerloh (155) dan Jerantut (151).

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 301 ke atas (berbahaya). - Bernama 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!