Bayi hidap jantung berlubang perlukan RM80,000

Elnaura menghidap kecacatan jantung kongenital.
Elnaura menghidap kecacatan jantung kongenital.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Bayi perempuan berusia setahun setengah, Elnaura Azzalea Muhammad Syazwan yang menghidap kecacatan jantung kongenital memerlukan dana RM80,000 bagi menjalani pembedahan menutup lubang pada jantungnya dengan segera.

Elnaura yang berasal dari Bayan Lepas merupakan anak sulung kepada pasangan Muhammad Anuar Syazwan Zafree, 32 dan Nurul Syazwani Zainol, 32 selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

Muhammad Anuar berkata, masalah kesihatan anaknya mula dikesan selepas dilahirkan menerusi pembedahan apabila paras oksigen bayi berkenaan didapati rendah.

Menurutnya, ketika pemeriksaan pada usia dua minggu, doktor turut mengesan bunyi degupan jantung yang tidak normal sebelum merujuk Elnaura ke hospital kerajaan untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati dia mengalami kecacatan jantung kongenital dengan tiga lubang pada jantung yang dikenali sebagai Moderate Perimembranous Ventricular Septal Defect (VSD).

“Oleh kerana saiz lubang ketika itu tidak besar, doktor berpendapat ia berkemungkinan tertutup sendiri apabila anak saya membesar dan dia diberikan ubat bagi mengawal keadaannya,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Anuar berkata, pemeriksaan susulan pada Jun lalu mendapati salah satu daripada tiga lubang berkenaan semakin membesar sehingga mencecah enam milimeter.

“Doktor memaklumkan keadaan itu memerlukan pembedahan segera bagi menutup lubang berkenaan.

“Dua lagi lubang masih kecil dan perlu terus dipantau sebelum doktor menentukan kaedah rawatan seterusnya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkembangan tersebut menimbulkan kebimbangan kerana kos pembedahan yang tinggi menyebabkan mereka tidak mampu menanggung keseluruhan perbelanjaan berkenaan.

“Kami hanya mampu mengeluarkan RM3,000 dan saya menjadi buntu kerana pembedahan perlu dilakukan secepat mungkin.

“Jadi, kami terpaksa merayu bantuan dana bagi memastikan anak kami mendapat rawatan yang diperlukan,” katanya.

Tambahnya, tanpa pembedahan, keadaan jantung Elnaura boleh menjadi lebih serius kerana jantungnya tidak mampu menanggung beban yang berlebihan.

“Keadaan itu boleh menyebabkan kegagalan jantung dan tekanan darah tinggi pada arteri pulmonari selain mengancam nyawanya,” katanya.

Elnaura bersama ibu bapa dan kakitangan One Hope Charity & Welfare.
Elnaura bersama ibu bapa dan kakitangan One Hope Charity & Welfare.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya tampil membantu keluarga berkenaan mengumpulkan dana bagi membolehkan Elnaura menjalani pembedahan secepat mungkin.

“Bapa Elnaura bekerja sebagai juruteknik manakala ibunya pula suri rumah.

“Demi memastikan anak mereka dapat menjalani pembedahan dengan segera, kami akan membantu mengumpulkan baki RM80,000 yang diperlukan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare, 3201428817 atau melalui laman sesawang, onehopecharity.org.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan berkenaan boleh menghubungi 016-419 2192, 019-232 2192 atau 04-539 9212.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!