Polis kesan suspek curi kabel TM Tech di Jalan Jelatek

Hantaran video berkaitan insiden itu yang tular di aplikasi Threads.
Hantaran video berkaitan insiden itu yang tular di aplikasi Threads.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan beberapa individu disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel milik TM Tech Sdn Bhd bernilai kira-kira RM15,000 di Jalan Jelatek, Datuk Keramat di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada wakil syarikat kira-kira 4.30 petang selepas rakaman video mengenai kejadian itu tular di media sosial.

Beliau berkata, rakaman dipercayai dikongsikan pengguna TikTok "Kyle.XY” (@kyle_ra) dan memaparkan beberapa individu menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih serta sebuah Toyota Harrier, juga berwarna putih.

"Dalam rakaman video tersebut, beberapa individu dilihat sedang menarik kabel milik TM Tech Sdn Bhd, manakala nombor pendaftaran kedua-dua kenderaan berkenaan tidak dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Khairul Anuar berkata, pihaknya turut mengesan satu hantaran video berkaitan insiden itu yang tular di aplikasi Threads, manakala laporan polis dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut diambil selain menjadi rujukan pihak syarikat.

"Pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!