Tiga lelaki ditahan curi kabel TNB bernilai RM50,000

Tiga lelaki ditahan bersama puluhan kabel elektrik milik TNB dalam serbuan di Ayer Tawar, pada Khamis. Gambar hiasan
Tiga lelaki ditahan bersama puluhan kabel elektrik milik TNB dalam serbuan di Ayer Tawar, pada Khamis. Gambar hiasan
A
A
A

MANJUNG - Tiga lelaki ditahan bersama puluhan kabel elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam serbuan di Ayer Tawar di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 7 pagi oleh sepasukan polis dari Balai Polis Ayer Tawar.

Menurutnya, polis turut membuat rampasan 43 batang kabel jenis ABC yang tertera tulisan TNB.

"Kesemua kabel berkenaan dianggarkan sepanjang 1,000 meter dan ditemukan dalam sebuah lori milik salah seorang suspek.

"Anggaran kerugian akibat kejadian ini adalah kira-kira RM50,000," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, tangkapan tersebut dibuat susulan laporan polis oleh pihak TNB berhubung kejadian kecurian kabel elektrik di sekitar Kampung Sungai Ramai, Ayer Tawar pada jam 4.39 pagi hari sama.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Ketiga-tiga suspek telah direman selama empat hari sehingga 13 September bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau hotline WhatsApp 017-682 8005.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!