Pendaki tanpa pengalaman altitud tinggi mungkin dilarang daki Everest

MOSCOW - Nepal sedang merancang untuk melarang pendaki gunung tanpa pengalaman pendakian di altitud tinggi daripada mendaki Gunung Everest, dengan butiran perundangan yang dicadangkan itu kini sedang digubal, kata Setiausaha Agung Persatuan Mendaki Gunung Nepal Rajendra Lama kepada RIA Novosti.
"Antara langkah baharu paling penting ialah keperluan untuk mempunyai pengalaman mendaki di altitud tinggi terlebih dahulu bagi sesiapa yang merancang untuk mendaki Gunung Everest. Matlamatnya adalah untuk memastikan pendaki mempunyai pengalaman mencukupi di altitud tinggi sebelum menyertai ekspedisi komersial mendaki gunung tertinggi dunia yang juga paling mencabar dari segi teknikal,” kata pegawai persatuan itu.
Undang-undang baharu itu masih dalam peringkat pembangunan dan penggubal undang-undang Nepal sedang membahaskan bilangan pendakian terdahulu ke puncak berketinggian lebih 7,000 dan 8,000 meter yang akan diwajibkan bagi mendapatkan permit.
Menurut penerbitan aktiviti mendaki gunung Explorersweb, peraturan baharu itu berkemungkinan tidak sempat berkuat kuasa bagi musim bunga 2027.
Persatuan itu juga sangat mengesyorkan supaya pendaki mendapatkan perlindungan insurans komprehensif yang meliputi pendakian altitud tinggi, pemindahan kecemasan menggunakan helikopter dan, jika perlu, kos penghantaran pulang.
Yuran kerajaan untuk mendaki puncak tertinggi dunia itu turut berubah tahun ini.
"Bagi pendaki asing yang menggunakan laluan biasa, bayaran kini ialah AS$15,000 bagi musim bunga (Mac-Mei), AS$7,500 bagi musim luruh (Sept-Nov) dan AS$3,750 bagi musim sejuk dan musim panas,” kata Lama.
Sehubungan itu, yuran bagi setiap pendaki pada musim bunga meningkat daripada AS$11,000 sebelum ini kepada AS$15,000. Sistem yuran baharu itu telah berkuat kuasa dan terpakai bagi musim pendakian semasa. - Bernama-Sputnik/RIA Novosti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
