APMM tambah aset pantau perairan negara

Aset udara iaitu AS365 N3 Dauphin, manakala aset laut iaitu KM Marudu demi meningkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh perairan negara.
Aset udara iaitu AS365 N3 Dauphin, manakala aset laut iaitu KM Marudu demi meningkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh perairan negara.
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menambah aturgerak aset-aset laut dan udara demi meningkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh perairan negara.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, penambahan berkenaan melibatkan aset udara iaitu AS365 N3 Dauphin, manakala aset laut iaitu KM Marudu.

Katanya, aset berkenaan ditambah untuk menyekat perlakuan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia, barang-barang terlarang, rompakan dan pencerobohan bot-bot nelayan asing.

"Peningkatan aset itu bagi menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan terutamanya di kawasan-kawasan titik panas dalam Zon Maritim Malaysia di sepanjang Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

"Tindakan ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta APMM 2004, Seksyen 7 (2) (i) iaitu menyingkir mana-mana vesel yang dipercayai boleh mengancam kepentingan atau membahayakan ketenteraman dan kesejahteraan dalam Zon Maritim Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, aset-aset APMM juga mempergiatkan pemantauan PKP melalui peruntukan Seksyen 3, Akta 342 – Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

"Sehubungan itu, tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pihak melakukan aktiviti-aktiviti tidak dibenarkan kecuali aktiviti bagi perkhidmatan penting seperti nelayan-nelayan yang memiliki lesen menangkap ikan yang sah daripada pihak berkuasa,"katanya.

Menurutnya, dalam menguatkuasakan PKP di perairan negara, APMM memperkemaskan operasi standard prosedur (SOP) operasi bersepadu dengan agensi-agensi lain khasnya menguji dan menilai keberkesanan SOP operasi bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di perairan utara negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemantauan berterusan dipertingkatkan secara bersepadu demi memperketatkan kawalan perairan sempadan negara daripada diceroboh oleh anasir-anasir asing.

"Sepanjang tempoh PKP, sebanyak 13 aset laut dan lima aset udara telah diaturgerak untuk memantau dan mengawal di sepanjang kawasan perairan utara Selat Melaka yang melibatkan dua aset udara dan tiga kapal APMM.

"Manakala TLDM melibatkan dua aset udara serta tiga kapal dan TUDM pula mengatur gerak sebuah pesawat CN 235, yang mana kesemua aset ini telah berada di kawasan titik panas dan pemantauan dilaksanakan dari masa ke semasa bagi memperkukuhkan kawalan sempadan perairan negara," katanya.