X

Kindly register in order to view this article
!

Sindiket pelaburan tumpas, 14 warga China diberkas

Dzulkhairi (tengah) menunjukkan peralatan yang dirampas hasil kegiatan sindiket penipuan pelaburan warga China di IPD Iskandar Puteri, Johor di sini hari ini.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Satu sindiket pelaburan antarabangsa melibatkan jual beli mata wang digital (bitcoin) tumpas apabila 14 warga China diberkas dalam Ops Nuri di Horizon Hill di sini petang semalam.

Dalam operasi yang dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada jam 2.14 petang itu, kesemua lelaki yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, sindiket terbabit menjadikan sebuah rumah banglo di kawasan perumahan berpagar di Horizon Hill sebagai markas operasi bagi mengelakkan daripada dikesan.

"Pihak kita melakukan risikan selama hampir dua bulan sebelum melakukan serbuan di lokasi berkenaan dan kita berjaya menahan seramai 14 lelaki warga China.

"Hasil siasatan awal kita mendapati mereka melakukan kegiatan penipuan pelaburan melibatkan jual beli mata wang digital (bitcoin) yang tidak wujud dengan menyasarkan warganegara China sebagai mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, sindiket menggunakan modus operandi dengan mempromosikan pakej pelaburan terhadap mangsa melalui aplikasi WeChat dan QQ yang mana beberapa ahli sindiket menyamar sebagai mentor pelaburan serta ahli pelaburan bagi meyakinkan mangsa.

Jelasnya, mangsa terpedaya dengan testimoni palsu sehingga mereka melabur dan mengalami kerugian.

Beliau berkata, siasatan lanjut pihaknya turut mendapat kesemua suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain mereka bekerja sebagai pegawai pemasaran yang berpangkalan di negara China.

Tambahnya, kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kita percaya masih ada lagi saki-baki ahli sindiket dan masih mengesan dalang di sebalik kegiatan ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!