11,726 saringan Covid-19 di zon merah Johor

Sebanyak 11,726 saringan koronavirus (Covid-19) dilakukan sejak hari pertama sehingga semalam di lima daerah yang dikategorikan sebagai zon merah di negeri ini.
Sebanyak 11,726 saringan koronavirus (Covid-19) dilakukan sejak hari pertama sehingga semalam di lima daerah yang dikategorikan sebagai zon merah di negeri ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 11,726 saringan koronavirus (Covid-19) dilakukan sejak hari pertama sehingga semalam di lima daerah yang dikategorikan sebagai zon merah di negeri ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, menerusi usaha tersebut sebanyak 558 kes direkodkan dan daripada jumlah itu sebanyak 326 kes sudah sembuh dan 221 kes lagi aktif selain melibatkan 11 kematian.

"Johor Bahru mencatatkan jumlah saringan tertinggi iaitu 2,356 dengan 191 kes diikuti Kluang (4,300 saringan dan 222 kes); Muar (2,101 saringan dan 47 kes); Batu Pahat (2,057 saringan dan 53 kes) dan Kulai (912 saringan dan 45 kes).

"Kerajaan negeri ingin menasihatkan semua agar tidak panik kerana data yang digunakan ini merujuk kepada keseluruhan kes yang direkodkan sejak kes pertama hingga kini termasuk kes aktif, kes yang telah sembuh serta kes kematian.

"Namun begitu, ini tidak bermakna masyarakat boleh sewenang-wenangnya ke sana ke sini dan mengabaikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kerajaan akan terus melakukan pemantauan di kawasan yang disenarai dalam zon merah, hijau atau kuning dan antara langkah yang sudah diambil adalah meningkatkan operasi sanitasi awam.

Sehingga semalam, beliau memberitahu, secara keseluruhan, operasi sanitasi awam dilakukan di 920 lokasi merangkumi 391 bangunan kerajaan, 100 rumah ibadat, 201 tempat awam dan 228 lagi tempat yang sering dikunjungi orang ramai.

Selain itu, beliau berkata, sehingga semalam Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan penambahan 16 kes baharu Covid-19 yang menjadikan jumlah terkini sebanyak 639 kes di seluruh negeri dengan 15 kes kematian direkodkan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga semalam juga, jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah 357 kes iaitu pertambahan satu kes berbanding hari sebelumnya. Diharapkan statistik kes sembuh dan discaj bagi negeri Johor akan terus meningkat untuk hari berikutnya," katanya.