X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga kecil, usahawan IKS jadi sasaran sindiket penipuan

Terdapatnya sindiket penipuan yang menawarkan pinjaman mudah wang tunai menerusi panggilan telefon atau menggunakan pelbagai aplikasi dan media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan e-mel. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga kecil serta usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dinasihatkan agar berhati-hati terhadap kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang aktif ketika ini susulan pelbagai dana dan bantuan kewangan ditawarkan kerajaan serta pihak bank kepada mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM), Mohd Prasad Hanif berkata, sindiket yang sedang berleluasa itu mengambil kesempatan untuk memperdayakan golongan tersebut.

"ADFIM menasihatkan peniaga kecil dan usahawan IKS supaya berpegang kepada amalan ‘3T’, iaitu TAC (Kod Pengesahan Transaksi) jangan dikongsi, tiada pihak ketiga dan telefon pihak institusi kewangan,” katanya.

Jelasnya, bank tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi pelanggan seperti nombor TAC dan PIN ataupun kata laluan bagi urusan perbankan dalam talian.

Beliau mengingatkan mereka supaya jangan terpedaya dengan mana-mana pihak atau individu yang mendakwa boleh membantu mendapatkan pinjaman atau menguruskan pinjaman.

Sebaliknya, mereka sendiri dikehendaki memohon bantuan pembiayaan terus daripada bank atau institusi ahli ADFIM ataupun menerusi platform ImSME di www.imsme.com.my.

Menurutnya, platform itu merupakan rujukan pembiayaan atau pinjaman pertama di Malaysia yang dilancarkan pada Februari 2018, dimiliki serta diuruskan oleh Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd dan disokong oleh Bank Negara Malaysia serta bank-bank yang terlibat.

"Ingat, tiada pihak ketiga yang terlibat untuk membantu anda mengemukakan permohonan pinjaman dengan bank,” kata Mohd Prasad.

Nasihat ini susulan terdapatnya sindiket penipuan yang menawarkan pinjaman mudah wang tunai menerusi panggilan telefon atau menggunakan pelbagai aplikasi dan media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan e-mel.

ADFIM turut mengesan sindiket yang mendakwa dilantik menjadi wakil atau sebagai orang tengah bagi menguruskan permohonan pinjaman atau bantuan dana kerajaan ataupun daripada institusi kewangan termasuk yang bernaung di bawahnya.

Mohd Prasad berkata, ramai yang mudah terpedaya dengan penipuan dalam talian hanya semata-mata dengan satu panggilan telefon dari pihak sindiket yang menyamar sebagai pegawai penguatkuasa, pegawai bank dan lain-lain.

"Oleh itu, anda boleh abaikan sahaja jika menerima panggilan seperti itu. Anda juga boleh menghubungi nombor telefon bank yang tertera di laman web rasmi institusi kewangan atau www.adfim.com.my atau menghubungi BNMTELELINK di 1-300-88-5465 untuk maklumat lanjut,” jelasnya.

Beliau berkata, semua institusi kewangan yang menjadi ahli ADFIM mengambil langkah sepenuhnya bagi membanteras kes penipuan termasuk secara dalam talian.

Kerjasama orang ramai turut diminta bagi melaporkan taktik penipuan sindiket ini kepada pihak polis dan institusi kewangan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!