Cerun runtuh: Laluan dibuka semula, PLUS buat penilaian

IPOH - Laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Kilometer 263.6 yang sebelum ini terjejas akibat kejadian tanah runtuh telah dibuka kepada semua pengguna.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kerja-kerja pembersihan di lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer selepas Terowong Menora itu berjaya diselesaikan dalam tempoh beberapa jam sebelum semua lorong dibuka semula sepenuhnya pada jam 7 malam.
Bagaimanapun menurutnya, PLUS Malaysia Berhad bersama agensi berkaitan masih berada di lokasi bagi memantau keadaan semasa kawasan kejadian serta memastikan aliran trafik kekal lancar.
"Tiada sebarang kemalangan jiwa, kecederaan mahupun kerosakan harta benda dilaporkan dalam insiden ini.
"Semua pengguna lebuh raya khususnya yang melalui kawasan Terowong Menora dan laluan berbukit berhampiran dinasihatkan supaya mengurangkan kelajuan dan mematuhi papan tanda keselamatan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan satu kejadian cerun runtuh berlaku di Kilometer 263.6 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dari Terowong Menora menuju Ipoh mengakibatkan kesesakan trafik sehingga 15 kilometer.
Mengulas lanjut, Mohd Alwi berkata, kejadian tanah runtuh itu berlaku sekitar jam 4.30 petang membabitkan laluan kiri lebuh raya ketika kawasan berkenaan sedang dilanda hujan lebat.
Katanya, susulan kejadian, lorong kiri ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan segera, manakala aliran trafik dialihkan ke lorong kanan untuk memastikan kelancaran perjalanan pengguna.
"Pihak PLUS sedang mendapatkan penilaian lanjut daripada pakar berkaitan keadaan lereng bukit di kawasan berkenaan.
"Ini bagi memastikan keselamatan laluan sebelum tindakan selanjutnya ditentukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

