Apakah boleh buat content di dalam masjid?

Soalan
Saya melihat sekarang ini ramai dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid membuat content di dalam masjid. Apakah ia dibolehkan?
Jawapan
Bagi menjawab persoalan apakah dibolehkan untuk seseorang melakukan content video di dalam masjid, ia bergantung kepada perbuatan apa yang ingin dirakamnya.
Sekiranya ia merupakan perkara berkaitan dengan keagamaan seperti berlakon solat atau ibadah lain untuk ditunjukkan kepada orang ramai, maka ia digalakkan.
Bagaimana pula jika ia tidak melibatkan ibadah, apakah ia dibenarkan juga?
Dalam hadis, terdapat aktiviti permainan dan hiburan tertentu pernah dilaksanakan di dalam masjid pada zaman Nabi Muhammad SAW dan ia bukanlah perkara tercela kerana ia diharuskan dalam syarak.
Dalam satu hadis, Aisyah RA pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak melarang dua pembantu wanita sedang bermain gendang pada hari-hari Mina (hari raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik) di dalam masjid.
Begitu juga dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW tidak melarang orang-orang Habsyah bermain tombak di dalam masjid.
Jadi secara asasnya membuat content di dalam kawasan masjid adalah diharuskan dengan syarat tidak melakukan perbuatan yang melanggar ajaran Islam.
Begitu juga seseorang itu mesti menjaga adab dan kehormatan masjid serta kandungan yang bersifat bermanfaat dan tidak mencemarkan kesucian serta fungsi masjid sebagai tempat ibadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

