Krisis buktikan kepimpinan Ab Ghani

KRISIS pandemik Covid-19 menjadi antara detik yang menguji kepimpinan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dalam memastikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) tidak terhenti sepenuhnya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesungguhan Ab Ghani ketika itu jelas apabila beliau beberapa kali bertemu dengannya untuk membentangkan perancangan serta idea bagi memastikan (Liga-M) Liga-M dapat diteruskan dalam keadaan negara berdepan pandemik.
Menurutnya, usaha itu penting kerana penghentian Liga-M akan menjejaskan mata pencarian pemain, jurulatih dan pegawai kelab, selain menyukarkan usaha menghidupkan semula industri bola sepak selepas tempoh yang panjang.
“Kesungguhan Ab Ghani pada waktu itu untuk datang berbincang dengan saya memang cukup besar bagi memastikan kelangsungan Liga-M terus dapat dilaksanakan.
“Jika Liga-M berhenti, terputuslah mata pencarian ramai pemain, jurulatih dan pegawai kelab. Untuk menghidupkannya semula selepas terhenti lama juga pasti lebih sukar, bukan sahaja kepada Liga-M malah seluruh industri bola sepak,” katanya.
Reezal Merican berkata, kesinambungan Liga-M turut penting sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023, yang menyaksikan Malaysia akhirnya layak ke pusingan akhir di Doha, Qatar.
Katanya, perbincangan bersama Ab Ghani dilakukan beberapa kali kerana ketika itu MFL perlu menyediakan pendekatan sesuai untuk memastikan saingan bola sepak dapat diteruskan tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
“Bukan sekali atau dua kali, tetapi banyak pertemuan diadakan kerana Ab Ghani datang dengan perancangan dan idea bagaimana sukan bola sepak ini boleh diteruskan dalam keadaan yang cukup mencabar ketika itu,” katanya.
Sebagai rekod, kesemua perlawanan Liga-M ditangguhkan berkuat kuasa 16 Mac 2020 susulan penularan Covid-19.
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasukan tidak dibenarkan menjalani latihan berpasukan seperti biasa sebelum Latihan Fasa 1 bermula pada 15 Jun 2020 tanpa sentuhan fizikal.
Kerajaan kemudian membenarkan Latihan Fasa 2 bermula 15 Julai 2020, membolehkan pemain melakukan sentuhan fizikal mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Saingan Liga-M akhirnya kembali bersambung pada 28 Ogos 2020.
Reezal Merican berkata, beliau tidak terkejut apabila mengetahui Ab Ghani dicalonkan untuk jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berdasarkan pengalaman serta komitmen yang ditunjukkannya ketika krisis Covid-19.
“Ketika krisis melanda, saya melihat komitmen Ab Ghani. Waktu itu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden MFL turut membantu selain sokongan kelab-kelab lain yang mahu melihat bola sepak terus hidup.
“Saya tahu, untuk meyakinkan kerajaan ketika itu bukan sesuatu yang mudah kerana Covid-19 adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian.
“MFL menyediakan pelan SOP Gelembung Sukan yang pada saya cukup efektif untuk dilaksanakan, bukan hanya untuk bola sepak malah dijadikan rujukan kepada sukan lain,” katanya.
Beliau berkata, kemampuan membawa penyelesaian dan perancangan ketika berdepan krisis merupakan antara ciri penting seorang pemimpin.
“Dalam keadaan krisis, kita bukan hanya perlu bercakap tentang masalah, tetapi perlu datang dengan penyelesaian dan perancangan.
“Jadi saya tidak terkejut apabila Ab Ghani dicalonkan untuk menjawat jawatan Presiden FAM. Saya fikir pengalaman beliau sebagai bekas pemain serta dalam pengurusan bola sepak akan membantu FAM bergerak maju ke depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
