BN Melaka langgar semangat konsensus - MCA

PUTRAJAYA – Tindakan BN Melaka membuat keputusan berhubung agihan kerusi tanpa sebarang rundingan dan persetujuan terlebih dahulu telah melanggar semangat konsensus yang selama ini menjadi amalan gabungan politik itu.
Penerangan MCA menegaskan, keputusan tersebut adalah sesuatu yang sama sekali tidak dapat diterima.
"Perbuatan ini telah melanggar semangat konsensus yang selama ini menjadi amalan BN.
"Sehubungan itu, MCA akan terus mempertahankan prinsip, pendirian dan maruah parti selain menegaskan bahawa semua pemimpin, parti komponen BN bertanggungjawab untuk memelihara semangat serta asas perjuangan asal BN," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama pemimpin parti itu bertindak meninggalkan majlis pengumuman calon BN PRN Melaka kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan berkait pengagihan kerusi.
Selain tidak dimaklumkan mengenai majlis pengumuman calon, Ka Siong dilapor berkata, kerusi yang pernah ditandingi parti itu telah diberikan kepada parti lain tanpa sebarang rundingan, meskipun MCA merupakan parti komponen BN sejak sekian lama.
Susulan itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui Ka Siong tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pengumuman calon itu.
Zahid berkata, isu berkenaan akan dibincangkan sebelum 31 Oktober iaitu hari penamaan calon dan masih ada ruang mengubah senarai kerana watikah belum ditandatangani.
Dalam pada itu, MCA menerusi kenyataan sama menegaskan, semua enam Bahagian MCA Melaka turut sebulat suara menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan muktamad yang dibuat oleh kepimpinan pusat parti.
"Dua penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Lim Ban Hong dan Datuk Ngwe Hee Sem juga setuju untuk akur kepada keputusan parti serta terus berdiri teguh bersama parti dalam mempertahankan hak dan maruah MCA," jelas parti itu.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membentuk kerajaan negeri.
MCA memenangi dua daripada tujuh kerusi yang ditandinginya iaitu Machap Jaya dan Klebang, manakala MIC memenangi kerusi Gadek.
Bagi PRN Melaka ke-16, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 31 Oktober ini sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian.
BN pula mengumumkan pembahagian 21 kerusi untuk BN, manakala tujuh kerusi diperuntukkan kepada Pas dan rakan strategiknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


