Messi beli kelab divisyen dua Sepanyol

PEMAIN sensasi, Lionel Messi semakin menghampiri langkah baharu dalam dunia bola sepak apabila bintang Argentina itu dilaporkan bakal mengambil alih kelab divisyen dua Sepanyol, CD Eldense.
Laporan media Sepanyol mendakwa Messi telah mencapai persetujuan awal dengan TH Soluciones Group SAS untuk memperoleh keseluruhan pegangan saham kumpulan pelaburan dari Colombia itu dalam Eldense.
TH Soluciones mengambil alih kelab yang berpangkalan di Elda, Alicante berkenaan pada Oktober tahun lalu dan kini dilaporkan bersedia menyerahkan pemilikan kepada pemenang Ballon d'Or lapan kali itu.
Bagaimanapun, urusan berkenaan belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana masih memerlukan kelulusan Majlis Sukan Tinggi Sepanyol (CSD) dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam tempoh beberapa hari.
Reuters dilaporkan sudah menghubungi TH Soluciones dan Eldense bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkembangan terbabit.
Jika pengambilalihan itu menjadi kenyataan, Messi akan memiliki dua kelab di Sepanyol selepas sebelum ini membeli UE Cornella, pasukan divisyen kelima, pada 16 April lalu.
Bekas kapten Barcelona itu juga dijangka mempunyai kepentingan dalam Inter Miami apabila kontrak permainannya bersama kelab Major League Soccer (MLS) tersebut berakhir.
Eldense yang mempunyai sejarah panjang beraksi di liga bawahan Sepanyol menunjukkan peningkatan ketara dalam beberapa tahun kebelakangan ini selepas menerima suntikan pelaburan.
Kelab yang berpusat di bandar berpenduduk sekitar 55,000 itu berjaya beraksi dalam divisyen kedua untuk tiga daripada empat musim terakhir.
Namun, permulaan musim kali ini tidak memihak kepada Eldense apabila mereka hanya mengumpul dua mata daripada empat perlawanan, sekali gus terperosok di tangga ketiga tercorot.
Keadaan itu turut menyaksikan kelab berkenaan mengambil keputusan memecat jurulatih Claudio Barragan pada Ahad lalu.
Kehadiran Messi sebagai pemilik baharu, jika disahkan, berpotensi membawa dimensi berbeza kepada Eldense yang kini berdepan cabaran untuk mempertahankan status mereka dalam saingan divisyen kedua.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
