Ronaldinho kembali beraksi pada usia 46 tahun

Ronaldinho bakal kembali menyarung jersi untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif buat kali pertama selepas lebih sedekad.
Ronaldinho bakal kembali menyarung jersi untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif buat kali pertama selepas lebih sedekad.
A
A
A

LEGENDA bola sepak Brazil, Ronaldinho bakal kembali menyarung jersi untuk beraksi dalam perlawanan kompetitif buat kali pertama selepas lebih sedekad apabila mewakili kelab Itali, Ravenna pada 15 November ini.

Pemain yang pernah menjulang trofi Piala Dunia dan Ballon d'Or itu dijadualkan turun beraksi menentang Forlì dalam pertembungan derby sekali gus mencuri perhatian peminat bola sepak yang merindui kelibatnya di atas padang.

Ravenna sebelum ini mengumumkan Ronaldinho menyertai kelab berkenaan sebagai pemain pada musim panas lalu.

Bagaimanapun, pengesahan terbaharu kelab itu menamatkan tanda tanya mengenai status bekas bintang Barcelona tersebut yang turut memiliki pegangan saham minoriti dalam kelab berkenaan.

Dalam satu kenyataan, Ravenna menyifatkan kepulangan Ronaldinho sebagai detik istimewa yang bakal menarik perhatian peminat bola sepak seluruh dunia ke Stadium Bruno Benelli.

“Seluruh dunia bola sepak menyangka perkara ini terlalu indah untuk menjadi kenyataan. Namun, kini kami secara rasmi mengesahkan kepulangan hebat ini, sekali gus menyaksikan kembalinya magis, senyuman dan bakat yang memikat generasi peminat tanpa mengira pasukan pilihan mereka,” menurut kenyataan itu.

Ronaldinho, 46, secara rasmi mengumumkan persaraan pada 2018 selepas kali terakhir beraksi bersama Fluminense pada 2015.

Sepanjang kariernya, bekas pemain antarabangsa Brazil itu mencipta nama sebagai antara pemain paling berbakat dalam sejarah bola sepak menerusi aksi memukau bersama kelab dan skuad kebangsaan.

Beliau memainkan peranan penting membantu Brazil menjuarai Piala Dunia 2002 selain merekodkan 33 gol dalam 97 penampilan antarabangsa antara 1997 hingga 2013.

Artikel Berkaitan:

Namun, namanya paling sinonim dengan Barcelona apabila membantu gergasi Sepanyol itu memenangi dua gelaran La Liga serta trofi Liga Juara-Juara pada 2006.

Kehebatan Ronaldinho turut diiktiraf apabila memenangi anugerah Ballon d'Or pada 2005, selain dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA dua tahun berturut-turut pada 2004 dan 2005.

Beliau juga tergolong dalam kelompok eksklusif pemain yang pernah memenangi Piala Dunia, Liga Juara-Juara dan Ballon d'Or sepanjang karier mereka.

Kepulangannya ke padang turut menjadi sebahagian daripada perancangan Ravenna yang kini berada di tangga kedua Kumpulan B Serie C, divisyen ketiga bola sepak Itali dalam usaha memburu kenaikan ke Serie B.

Kelab kendalian bekas pertahanan Inter Milan, Andrea Mandorlini itu sedang membina semula kekuatan selepas berdepan masalah kewangan sehingga diisytiharkan muflis pada 2012 sebelum kembali bersaing dalam liga profesional.

Selepas mengharungi 10 perlawanan, Ravenna ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Spezia. Hanya juara kumpulan memperoleh tiket kenaikan automatik ke Serie B.

Ronaldinho sebelum ini turut mempunyai pengalaman beraksi di Itali apabila menyarung jersi AC Milan selama tiga musim dari 2008 hingga 2011.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!