Messi rancang beli kelab divisyen dua Sepanyol, Eldense

BINTANG bola sepak Argentina Lionel Messi bakal menjadi pemilik majoriti kelab divisyen dua Sepanyol, CD Eldense, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik akhbar harian sukan Sepanyol AS.
AS melaporkan pada lewat Selasa bahawa pemenang Piala Dunia 2022 itu telah mencapai persetujuan asas dengan kumpulan pelaburan Colombia, TH, untuk mengambil alih 100 peratus saham kelab berkenaan. Urus niaga itu masih tertakluk kepada kelulusan mandatori Majlis Sukan Tinggi Sepanyol (CSD).
Jika pembelian itu diteruskan, ia akan menjadi kali pertama Messi memiliki sebuah kelab profesional di Sepanyol. Pemain berusia 39 tahun itu, yang kini beraksi pada musim keempatnya bersama Inter Miami dalam Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat (AS), sudah memiliki kelab divisyen lima UE Cornella.
"Kami hanya menerima pengesahan petang ini bahawa persetujuan asas telah dicapai. Bagaimanapun, pada peringkat ini, kami perlu bersikap berhati-hati seperti yang sewajarnya dalam situasi sebegini dan menunggu untuk melihat sama ada urus niaga itu benar-benar terlaksana," kata Datuk Bandar Elda Ruben Alfaro.
"Walau apa pun, kita sekali lagi seharusnya berbangga dengan bandar raya kita dan kelab bola sepak yang mewakili kita. Hakikat bahawa seseorang seperti Leo Messi berminat terhadap kita dan mahu menyokong kelab serta Elda merupakan berita yang luar biasa," katanya.
CD Eldense baru sahaja dinaikkan ke saingan Segunda Division dan kini berada di tangga ketiga tercorot selepas empat perlawanan. Stadium di bandar yang mempunyai 55,000 penduduk itu berkapasiti 5,800 penonton. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
