KKM mulakan ujian pengasingan kultur virus Covid-19

Dr Noor Hisham (kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham (kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mula melakukan ujian pengasingan kultur virus Covid-19 hari ini bagi mengenal pasti strain virus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dapatan daripada hasil kajian berkenaan akan dikongsikan bersama lapan pakar perunding perubatan dari China yang hadir ke negara ini untuk membantu menangani wabak berkenaan.

"Hari ini kita telah laksanakan pengasingan dan kultur virus tersebut di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan daripada kultur tersebut kita bandingkan gelombang pertama dan gelombang kedua.

"Mungkin kita akan berkongsi pendapat dengan hasil kajian kita dengan pihak (pasukan perunding perubatan) China," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebelum ini pihaknya melakukan teleconferencing bersama pasukan dari Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China, cawangan Guandong itu.

"Mungkin ada banyak isu lagi yang kita kena lihat. Antara mereka lapan orang itu adalah pakar penyakit berjangkit, pakar analisis data dan sebagainya.

"Dengan kepakaran mereka di Hubei hari itu, mungkin kita boleh kongsi dan juga dapat melihat kajian kita contohnya serta juga perkhidmatan kita di hospital bagaimana boleh lagi dipertingkatkan dan boleh belajar daripada mereka," katanya.

Artikel Berkaitan: