Iran ancam AS dengan 'perang ekonomi'

TEHERAN - Iran tampil dengan taktik baharu terhadap Amerika Syarikat (AS) dengan mengancam ‘perang ekonomi’ ketika pertempuran di Asia Barat kini memasuki bulan keenam tanpa tanda-tanda akan reda.
Perkembangan tersebut sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa ketegangan akan terus memuncak selepas kedua-dua seteru itu saling berbalas serangan sejak akhir bulan lalu.
Di bawah langkah itu, Teheran bakal mengumumkan zon pengecualian di Teluk bersama peta laluan perkapalan baharu melalui Selat Hormuz dalam beberapa hari akan datang.
Menurut Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei pada Selasa, zon larangan baharu itu akan bermula dari kawasan sekatan Washington terhadap Teheran dan meliputi sebahagian kawasan Teluk.
"Mana-mana kapal yang memasuki kawasan tersebut akan dimasukkan ke dalam senarai sekatan kami. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, AS juga telah menerima amaran jelas menerusi peluru berpandu canggih kami.
"Sekatan ekonomi dikenakan Washington akan dibalas dengan zon pengecualian maritim di seluruh Teluk Parsi hingga ke kawasan sekatan. Pendekatan operasi terhadap kapal perang dan pangkalan AS telah diubah sepenuhnya,” tegasnya Rezaei.
Dalam perkembangan berkaitan, Teheran turut menaikkan harga petrol bagi pengguna melebihi had penggunaan bulanan yang merupakan kenaikan harga petrol kedua sejak Disember lalu.
Tanpa menyebut secara khusus perang dengan AS, pemerintah menyatakan langkah itu dibuat berdasarkan 'situasi semasa' manakala hasil tambahan daripada kenaikan harga tersebut akan disalurkan kepada isi rumah.
Di bawah sistem baharu, individu yang membeli lebih daripada kuota 110 liter petrol sebulan kini perlu membayar 100,000 rial (28 sen) seliter iaitu dua kali ganda berbanding harga sejak akhir 2025.
Meskipun harga petrol Iran masih antara yang terendah di dunia, kenaikan itu tetap menambah beban rakyat terutamanya ketika nilai mata wang terus merosot dan kuasa beli semakin terjejas. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

