Kluster baharu petugas kesihatan Sabah

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu melibatkan petugas kesihatan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan melibatkan tiga buah hospital KKM di Sabah iaitu Hospital Queen Elizabeth 2, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas dan Hospital Keningau.

"Terdapat 31 kes yang telah dikenalpasti positif Covid-19 dalam kluster ini termasuk dua kes baharu dilaporkan hari ini.

"Kesemua kes masih dalam rawatan setakat ini. Kluster ini terdiri daripada 23 petugas kesihatan dan lapan ahli keluarga/orang awam," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kluster berkenaan mula dikesan apabila keputusan ujian Covid-19 salah seorang kakitangan hospital yang melapor diri di Hospital Queen Elizabeth 2 adalah positif pada 2 April 2020.

Katanya, individu itu didapati tidak sihat dan mempunyai gejala batuk dan selesema pada hari tersebut.

"Siasatan dan saringan bagi kontak kakitangan tersebut telah dijalankan. Jangkitan Covid-19 telah didapati positif bagi beberapa rakan setugas serta ahli keluarga.

"Kesemua 31 kes masih berada di dalam wad dan adalah berada dalam keadaan stabil. Tiada kes yang mendapat jangkitan ini semasa mengendalikan pesakit Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: