Pengangguran Melaka hanya 1.6 peratus, terendah dalam negara

Ahmad Zahid (dua dari kanan) menyaksikan Ab Rauf menyampaikan topi keledar kepada salah seorang pemenang hadiah cabutan bertuah.
Ahmad Zahid (dua dari kanan) menyaksikan Ab Rauf menyampaikan topi keledar kepada salah seorang pemenang hadiah cabutan bertuah.
A
A
A

MELAKA - Kadar pengangguran di Melaka hanya 1.6 peratus merupakan yang terendah dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pencapaian itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam menyediakan peluang pekerjaan serta menjaga kebajikan rakyat.

“Kita lihat juga di Melaka ini, perangkaan cukup membanggakan. Kadar pengangguran di Melaka adalah yang terendah di negara kita.

“Hanya kira-kira 1.6 peratus kadar pengangguran di negeri Melaka, yang terendah sekali di negara ini. Ia bukan datang daripada langit, ia dirancang,” katanya berucap pada Majlis Penutup Konvoi Bermotor Karnival Anak Muda di MITC di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, perancangan berkenaan dilaksanakan Ketua Menteri, barisan Exco, pegawai kerajaan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya ucapkan tahniah dan terima kasih. Ertinya, kerajaan Melaka di bawah kepimpinan Ab Rauf telah merancang masa depan anak-anak muda, memberikan peluang pekerjaan yang banyak, menyantuni anak-anak muda dan orang-orang lama.

“Keseimbangan ini amat penting dan saya ucapkan tahniah kerana pencapaian 1.6 peratus ini adalah pencapaian yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru rakyat Melaka supaya memberikan sokongan kepada kerajaan negeri bagi memastikan kesinambungan pentadbiran sedia ada.

“Apabila tiba waktunya yang sesuai, apabila tiba hari besar yang harus menentukan masa depan Melaka semula, jangan lupa! Bawa gelombang biru yang pernah berlaku di Johor, berlaku di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

“Insya-ALLAH gelombang biru itu akan berada di Melaka juga,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera kerajaan dan parti supaya tidak memberi ruang kepada lawan politik mengeksploitasi kelemahan mereka.

“Jangan buat silap walaupun sedikit. Seteru politik sentiasa mencari kelemahan kita. Yang baik hanyalah kawan, yang tidak baik hanyalah musuh.

“Dalam kawan ada musuh, dalam musuh ada kawan. Tetapi pendirian kita bahawa kawan kamu adalah kawan saya. Musuh kamu, jangan paksa jadi musuh kita. Itu pegangan kita,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!