Fernandez sedia buat debut bersama City

PEMAIN tengah baharu Manchester City, Enzo Fernandez bersedia membuat penampilan sulung bersama kelab itu apabila juara Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan melayan kunjungan Coventry City malam esok.
Pengurus City, Enzo Maresca mengesahkan Fernandez berada dalam senarai pemain yang boleh dipilih selepas perpindahannya dari Chelsea pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas.
Pemain Argentina itu menyertai City dengan nilai perpindahan dilaporkan 125 juta pound (RM683 juta), sekali gus menyamai rekod perpindahan Britain.
Maresca yang pernah membimbing Fernandez ketika di Chelsea menyifatkan kehadiran pemain tengah itu sebagai tambahan penting kepada skuad, terutama berdasarkan pengalaman dan mentaliti kemenangannya.
"Enzo sudah bersedia. Saya cukup mengenali Enzo dan tahu apa yang mampu dibawanya kepada pasukan.
"Dia seorang pemenang, mempunyai mentaliti seorang juara dan tahu bagaimana untuk menang. Piala Dunia, Piala Dunia Kelab... perkara paling penting ialah dia seorang pemenang," katanya.
Maresca berkata, kehadiran Fernandez turut mendapat sambutan positif dalam kalangan pemain City, malah beberapa daripada mereka sebelum ini tertanya-tanya sama ada perpindahan itu benar-benar akan berlaku.
"Apabila anda berada dalam satu skuad dan seorang lagi pemenang menyertainya, semua orang pasti gembira.
"Saya boleh katakan dalam tempoh lima hari terakhir, empat atau lima pemain datang bertanya, 'Dia jadi datang atau tidak?' Sangat penting untuk dia bersama kami," katanya.
Selain Fernandez, City turut mendapatkan penyerang Iliman Ndiaye pada penghujung jendela perpindahan, menjadikan perbelanjaan kelab itu untuk rombakan skuad musim panas melebihi 450 juta pound (RM2.45 bilion).
Maresca menyifatkan usaha pengerusi kelab, Khaldoon Al-Mubarak dan pengarah bola sepak, Hugo Viana, sebagai sesuatu yang amat memuaskan hati dalam usaha melengkapkan skuad.
"Dalam beberapa hari terakhir, Iliman dan Enzo tiba. Kini skuad sudah lengkap, semuanya selesai. Sekarang masanya untuk bekerja," katanya.
Mengenai Ndiaye, Maresca percaya pemain itu sudah menunjukkan kualiti yang diperlukan selepas hanya beberapa hari menjalani latihan bersama pasukan.
"Dia sangat bagus. Dalam tempoh dua hari terakhir, anda sudah boleh melihat betapa bagusnya dia dalam situasi satu lawan satu, di sepertiga akhir padang dan dalam kotak penalti. Saya sangat gembira memilikinya bersama kami," katanya.
Dalam perkembangan lain, Maresca mengesahkan Matheus Nunes sudah kembali dalam skuad dan bersedia dipertimbangkan, namun Jeremy Doku masih belum dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.
City ketika ini mendahului carta Liga Perdana Inggeris dan dijangka mahu meneruskan momentum positif apabila berdepan Coventry yang baru dinaikkan ke divisyen utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
