Gelandangan Kelantan ditempatkan di Min House Camp

Dr Johari (kanan) menyampaikan makanan kepada seorang lelaki yang berada di Pasar Siti Khadijah ketika tempoh PKP berkuat kuasa.
Dr Johari (kanan) menyampaikan makanan kepada seorang lelaki yang berada di Pasar Siti Khadijah ketika tempoh PKP berkuat kuasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Individu gelandangan di negeri ini yang diselamatkan ditempatkan di Min House Camp Kubang Kerian bagi meneruskan kehidupan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Usaha murni menerusi Misi Kemanusiaan Gelandangan itu dianjurkan oleh Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK) dengan kerjasama Kelab Sukarelawan (Volunteer I Care), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Kelantan dan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).

Pengerusi program, Dr Johari Yap berkata, seramai 14 sukarelawan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan menjejak gelandangan di sekitar Kota Bharu dan Pasir Pekan, diberikan tempat tinggal sementara serta makanan secara percuma dalam usaha mengekang pandemik koronavirus (Covid-19).

Katanya, Presiden POKB, Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad dan pemilik Min House Camp Kubang Kerian mencadangkan perkara itu bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian wabak itu.

“Golongan ini terdedah kepada bahaya Covid-19 dan perlu menjalani PKP seperti rakyat lain. Bagi mereka yang enggan, kami tidak memaksa tetapi untuk gelandangan berlatarbelakang bebas dadah dan waras, mereka boleh datang secara sukarela di lokasi yang disediakan itu.

“Jadi, dapatlah mereka berada di ‘rumah’ bagi mengelak jangkitan atau menjangkiti penyakit kepada orang lain. Setakat ini seorang gelandangan menyatakan hasrat untuk tinggal di sana,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 30 gelandangan di sekitar kawasan Pasar Besar Siti Khadijah dan Masjid Muhammadi di sini.

Dr Johari berkata, bantuan makanan seperti nasi bungkus, biskut, roti dan air minuman itu disalurkan oleh Volunteer I Care menerusi Food Panda serta Grab Food kepada gelandangan setiap hari.

Beliau yang juga Pengerusi Macma Kelantan berkata, misi itu bertujuan menyelesaikan masalah jangka pendek golongan gelandangan selain turut menyampaikan mesej berhubung bahaya ancaman Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Mereka tidak mempunyai akses komunikasi seperti telefon, televisyen atau membaca surat khabar, jadi mereka tidak sedar akan bahaya Covid-19 termasuk gelandangan yang berusia 40 hingga 70 tahun ini.

“Melalui misi ini juga kami memberi penerangan dan membekalkan kit kebersihan diri seperti tuala mandi, sabun, berus gigi, ubat gigi, selimut dan pakaian terpakai selain diberikan penutup hidung dan mulut serta pencuci tangan,” katanya.

Tambah beliau, gelandangan yang layak akan terus dibantu untuk ditempatkan ke Rumah Seri Kenangan, Pengkalan Chepa dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas tamat PKP demi kebaikan mereka.

Sementara itu, seorang warga emas, Hassan@Nawi Draman, 70, berkata, hidupnya tidak terurus selepas berpisah dengan isteri dan bergelandangan sejak empat tahun lalu.

“Makan dan minum saya hanya mengharapkan simpati orang. Jika ada yang memberi makan, bolehlah saya mengalas perut, sebaliknya jika tidak saya terpaksa berlapar sepanjang hari.

“Tempat saya tidur untuk menghilangkan penat adalah di kaki lima masjid, surau, bank, pasar dan pasar raya. Saya hendak tinggal di penginapan sementara itu kerana sudah terlalu letih bergelandangan,” katanya.