Zerbi akui Spurs masih rapuh

Zerbi (tengah) memohon maaf kepada penyokong susulan kekalahan Spurs kepada Newcastle 0-2 dalam saingan EPL di laman sendiri pada Ahad. FOTO: Agensi.
Zerbi (tengah) memohon maaf kepada penyokong susulan kekalahan Spurs kepada Newcastle 0-2 dalam saingan EPL di laman sendiri pada Ahad. FOTO: Agensi.
A
A
A

DUA gol mudah yang dilepaskan Tottenham Hotspur pada separuh masa kedua menjadi titik perubahan aksi ketika tewas 0-2 kepada Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Pengendali Spurs, Roberto De Zerbi mengakui pasukannya kembali mempamerkan kelemahan yang sama selepas gagal mengekalkan prestasi meyakinkan sepanjang sejam pertama perlawanan.

Tottenham sebelum itu tampil lebih tersusun dan agresif, termasuk mempamerkan corak serangan pantas yang menjadi antara faktor utama De Zerbi dibawa masuk untuk membina semula pasukan.

Namun, segala usaha tersebut musnah apabila mereka bolos dua gol mudah pada babak kedua, sekali gus menyaksikan Spurs mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas turut tewas 0-3 kepada Brentford minggu lalu.

De Zerbi menegaskan perbelanjaan besar tidak semestinya mampu menyelesaikan masalah pasukan, terutama aspek mentaliti pemain yang dianggap perlu dibentuk dari dalam.

"Anda tidak boleh membeli mentaliti dalam pasaran perpindahan," katanya.

Kekalahan itu turut menambah tekanan terhadap pengendali dari Itali berkenaan apabila Spurs sudah tewas 21 kali dalam 39 perlawanan liga terakhir di Stadium Tottenham Hotspur.

Lebih mengecewakan, ribuan penyokong memilih meninggalkan stadium lebih awal, sekali gus menggambarkan tahap kekecewaan mereka terhadap persembahan pasukan.

De Zerbi sebelum ini berhasrat menjadikan Stadium Tottenham Hotspur sebagai 'kubu' buat Spurs, namun keputusan terbaru jelas menunjukkan sasaran itu masih jauh untuk direalisasikan.

Artikel Berkaitan:

Spurs sudah membelanjakan lebih 300 juta pound (RM1.7 bilion) pada jendela perpindahan musim panas bagi merombak skuad yang menamatkan saingan di tangga ke-17 dalam dua musim berturut-turut.

Walaupun berdepan tekanan, De Zerbi tetap mempertahankan kemampuan pemainnya dan enggan mengubah penilaian hanya disebabkan dua kekalahan berturut-turut.

"Saya minta maaf kepada penyokong dan semua yang terlibat kerana selepas dua kekalahan ini, mungkin ada yang beranggapan ia cerita yang sama seperti dua musim lalu.

"Saya tidak ragu-ragu bahawa ia bukan seperti itu. Saya tidak boleh mengubah pendapat hanya kerana dua kekalahan. Saya sangat, sangat yakin dengan kualiti pemain saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!