Air 9 meter rempuh lembah Nepal

KATHMANDU - Ia datang dari pergunungan Himalaya tanpa hujan lebat dan hampir tanpa amaran.
Dalam tempoh hanya 30 minit, paras sungai dilaporkan melonjak sehingga sembilan meter ketika 'dinding air', lumpur, batu dan serpihan membadai lembah di sempadan Nepal-Tibet.
Rakaman mengerikan menunjukkan gelombang itu menghempas bangunan beberapa tingkat sebelum menghanyutkan bas dan kereta, seolah-olah ‘tsunami dari gunung’ yang meranapkan jalan raya, jambatan dan perkampungan di sepanjang laluannya.
Sehingga 7 malam tadi, sekurang-kurangnya 273 orang terbunuh manakala lebih 1,300 lagi masih hilang di Nepal dan Tibet, termasuk lebih 700 warga asing susulan bencana dahsyat pada pagi Rabu itu.
Malaysia turut terkesan apabila 55 rakyatnya masih belum dapat dihubungi, namun setakat ini tiada kehilangan nyawa melibatkan rakyat negara ini disahkan.

Kawasan bencana merupakan sebahagian laluan penting yang menghubungkan Kathmandu dengan Lhasa di Tibet.
Ia sering digunakan pelancong, pendaki serta peziarah antarabangsa, menyebabkan jumlah warga asing yang terperangkap begitu tinggi.
Bagi Keshav Prasad Baral, 68, kedahsyatan bencana itu berlaku di depan matanya sendiri ketika banjir melanda Tupche di daerah Nuwakot, di sepanjang Sungai Trishuli sekitar jam 9 pagi.
Ketika itu, dia berada di rumah bersama isterinya sebelum melihat limpahan lumpur semakin tinggi dan meluru ke arah mereka.
“Ia datang seperti limpahan lumpur yang sangat besar terus ke arah kami. Semakin dekat, semakin tinggi,” katanya kepada Reuters.
Baral cuba menarik tangan isterinya untuk membawa wanita itu ke tingkat atas, namun gagal apabila arus deras menghanyutkannya.
“Isteri saya masih berada di bawah lumpur ini. Dia sudah tiada,” katanya.
Baral sendiri hanya berjaya diselamatkan menggunakan helikopter kira-kira empat jam kemudian.

Datang tanpa hujan lebat
Pakar hidrologi Universiti Texas San Antonio, Hatim Sharif menyifatkan campuran lumpur dan air yang bergerak pantas itu seperti ‘konkrit cair’.
Menurutnya, apabila aliran sedemikian sudah kelihatan menghampiri, berlari atau cuba melarikan diri menggunakan kenderaan mungkin sudah terlambat.
Runtuhan dipercayai bermula di Sungai Lhende sebelum aliran deras memasuki Sungai Bhote Koshi dan seterusnya Sungai Trishuli, membawa banjir jauh ke daerah Nuwakot dan Dhading.
Apa yang masih sukar dijelaskan ialah bagaimana banjir sebesar itu boleh muncul tanpa hujan lebat direkodkan sebelum kejadian.

Laporan awal mendapati bencana berkemungkinan bermula apabila sebahagian besar ais dan batu runtuh dari kawasan pergunungan tinggi sebelum memasuki sistem sungai.
Penilaian awal Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) yang berpangkalan di Kathmandu percaya runtuhan batu dan ais berlaku di Nepal sebelum menyekat Sungai Lhende dan mencetuskan rangkaian banjir.
Apabila aliran sungai tersekat, air boleh berkumpul dengan pantas di belakang timbunan ais, batu dan tanah hingga membentuk empangan serta tasik sementara.

Apabila sekatan itu gagal menahan tekanan, sejumlah besar air, lumpur dan serpihan dilepaskan serentak ke kawasan hilir.
Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada awalnya merekodkan gegaran magnitud 4.4 di sepanjang sempadan Nepal-China, di utara Kathmandu pada jam 8.37 pagi Rabu waktu tempatan.
Menteri Luar Nepal, Shishir Khanal pada peringkat awal turut mengemukakan kemungkinan gempa bumi mencetuskan tanah runtuh yang kemudian menyekat sungai.
Namun, USGS kemudian menjelaskan gegaran tersebut bukan berpunca daripada gempa bumi.

Tanah runtuh
Analisis lanjut terhadap gelombang seismik menunjukkan tenaga itu sebenarnya dihasilkan oleh kejadian tanah runtuh.
Imej satelit yang dianalisis pakar menunjukkan sebahagian besar bahagian bawah glasier pada ketinggian kira-kira 5,200 meter terpisah sebelum menjunam kira-kira 1,200 meter ke lembah.
Runtuhan ais dan batu itu kemudian mengheret tanah serta mendapan yang sudah dipenuhi air sebelum memasuki Sungai Lhende, kira-kira 20 kilometer di timur laut lintasan sempadan Rasuwagadhi.
Ahli geologi Universiti Calgary, Kanada, Daniel Shugar berkata antara perkara yang sukar dijelaskan ialah bagaimana paras aliran banjir boleh meningkat sehingga kira-kira sembilan meter dalam tempoh hanya 30 minit seperti dirakam menerusi video kejadian.

Menurut teori awal saintis, tanah runtuh itu terdiri daripada campuran ais dan batu yang bergerak pantas menuruni gunung serta membawa bersama mendapan yang telah tepu dengan air akibat monsun dan pencairan salji sebelum ini.
Tanah runtuh boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor dan saintis menegaskan masih terlalu awal untuk mengaitkan bencana khusus kali ini secara langsung dengan perubahan iklim.
Namun, Nepal yang terletak di banjaran Himalaya yang semakin panas mempunyai ribuan glasier yang terus mencair, manakala lapisan permafrost yang membantu menstabilkan struktur gunung turut semakin berkurangan.
Keadaan itu boleh meningkatkan risiko tanah runtuh, runtuhan ais dan fenomena limpahan tasik glasier atau GLOF apabila tasik yang terbentuk daripada pencairan glasier pecah atau melimpah, menyebabkan sejumlah besar air dan serpihan mengalir deras menuruni cerun gunung.

“Empangan glasier ini tidak banyak beza dengan empangan buatan manusia,” kata pensyarah kanan Universiti Canterbury, Tom Robinson sambil memberi contoh Empangan Hoover di Amerika Syarikat (AS) yang jika runtuh secara tiba-tiba akan melepaskan gelombang banjir besar ke lembah.
Kadar kehilangan ais daripada glasier di kawasan Hindu Kush Himalaya termasuk Nepal telah berganda sejak 2000, sekali gus meningkatkan risiko terhadap jutaan penduduk di kawasan hilir.
Banjir serupa di kawasan berkenaan tahun lalu dikaitkan dengan limpahan tasik glasier di Tibet, namun pakar masih belum menentukan sama ada fenomena sama memainkan peranan dalam bencana kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

