Dua keluarga hilang tempat tinggal

Dua keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah berkembar dua pintu di Kampung Alur Ladang di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Dua keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah berkembar dua pintu di Kampung Alur Ladang di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
A
A
A

KUANTAN - Dua keluarga hilang tempat tinggal selepas rumah berkembar dua pintu di Kampung Alur Ladang di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Zahar Abdullah berkata, dua jentera iaitu Fire Rescue Tender (FRT) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT), satu water tanker dan satu jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 20 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.26 pagi.

Katanya, jentera pertama dari pasukan Balai bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuantan sampai di lokasi kejadian yang diketuai oleh Ketua BBP Kuantan yang juga Timbalan Penguasa Bomba Kamarel Bieza Mohd Kassim turut dibantu pasukan BBP Indera Mahkota.

"Setibanya di tempat kejadian, seramai 16 orang penghuni dalam rumah berkembar dua pintu dalam keadaan selamat.

"Siasatan awal mendapati rumah berkeluasan 80x70 kaki persegi itu musnah 90 peratus. Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 10.48 pagi," katanya.

Antara cucu-cucu Hanisah yang berada di rumah ketika kejadian.
Antara cucu-cucu Hanisah yang berada di rumah ketika kejadian.

Dalam pada itu mangsa, Hanisah Mahmud, 57, berkata, dia hanya mampu menangis dan menyelamatkan lima cucu berusia setahun hingga tujuh tahun ketika kebakaran berlaku.

"Saya nampak asap hitam berkepul-kepul dari dinding dan ruang tamu. Tak sempat selamatkan apa-apa cuma fikir keselamatan anak-anak dan cucu-cucu yang sedang baring dan main di ruang tamu.

Artikel Berkaitan:

"Pakaian, dokumen penting, duit dan barangan dapur yang dibeli oleh anak-anak semua hangus terbakar," katanya.

Mohd Zahar
Mohd Zahar

Anak Hanisah, Mohd Azrul Hanif Kakhawi,30, berkata, dia bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat daripada kebakaran itu.

"Tak apalah barangan hangus. Kami reda. Yang penting mak... adik-beradik dan anak saudara semua selamat. Kami berserah kepada ALLAH. Terima kasih bantu keluarga kami selamatkan kereta. Lain lain tak sempat api cepat merebak.

"Bapa saya, Shakawi Yusof, 57, telah meninggal dunia September tahun lepas," katanya.

Mohd Azrul dan Hanisah bersyukur seluruh ahli keluarganya terselamat dalam kebakaran pagi tadi.
Mohd Azrul dan Hanisah bersyukur seluruh ahli keluarganya terselamat dalam kebakaran pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemakmuran dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Mohd Zuraimi Osman, 44, berkata, ketika kejadian jiran terdekat mangsa sempat membantu menyelamatkan sebuah kereta di luar rumah daripada terbakar.

Menurutnya, kesemua mangsa ditempatkan di sebuah balai raya sementara menunggu bantuan keperluan asas tiba daripada pihak berkaitan.

Beliau turut menerima kunjungan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), wakil Ahli Parlimen Indera Mahkota, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu dan wakil Pas kawasan tersebut bagi mendapatkan maklumat mangsa.

[LIVE] Dua keluarga kehilangan tempat tinggal dan harta benda apabila rumah didiami mereka terbabit dalam satu kebakaran...

Posted by Sinar Harian on Thursday, April 16, 2020