Misi RM50 juta Kopi Hang Tuah

Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Hang Tuah, Mohd Shahrizal Zoal (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar bersama rangkaian produk Kopi Hang Tuah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Hang Tuah, Mohd Shahrizal Zoal (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar bersama rangkaian produk Kopi Hang Tuah.
A
A
A

KETIKA industri kopi Malaysia semakin rancak dengan kemunculan pelbagai jenama tempatan, rangkaian antarabangsa dan gelombang kopi digital, persaingan kini tidak lagi hanya tertumpu kepada rasa, tetapi juga keupayaan jenama untuk terus relevan.

Kerana itu, jenama kopi warisan tempatan, Kopi Hang Tuah yang telah bertapak sejak hampir 70 tahun, kini dalam fasa transformasi demi mencapai sasaran hasil jualan tahunan sebanyak RM50 juta dalam tempoh tiga tahun.

Sasaran tersebut ditetapkan menerusi penyertaan Kopi Hang Tuah sebagai syarikat pertama dalam Program Capacity Building, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), yang dirangka membolehkan syarikat berpotensi memperoleh akses yang lebih luas kepada pembiayaan modal.

Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Hang Tuah Sdn Bhd, Mohd Shahrizal Zoal mengakui, persaingan dalam industri kopi hari ini menjadi cabaran besar kepada Kopi Hang Tuah, mengambil kira cita rasa pengguna yang turut berubah.

Bagaimanapun, dengan kekuatan Kopi Hang Tuah sebagai jenama dikenali sejak sekian lama, serta prestasi pertumbuhan yang positif, beliau optimis dalam mengatur strategi demi mencapai sasaran tersebut.

"Bagi tahun 2025, kami melihat pertumbuhan yang positif selari dengan perkembangan platform perdagangan moden. Prestasi tahun lalu juga sangat sihat.

"Saya amat berbesar hati kerana Hang Tuah dipilih sebagai syarikat pertama dalam program Capacity Building dan dengan sokongan Ekuinas, saya percaya masih banyak ruang untuk kami berkembang," katanya pada sesi taklimat media selepas lawatan ke kilang Kopi Hang Tuah di Seberang Perai, Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Hang Tuah, Mohd Shahrizal Zoal melawat kilang Kopi Hang Tuah di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar (kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Hang Tuah, Mohd Shahrizal Zoal melawat kilang Kopi Hang Tuah di Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Sejarah Kopi Hang Tuah bermula pada tahun 1955 apabila perniagaan serbuk kopi tradisional tersebut diasaskan sebagai sebuah perusahaan keluarga di Sungai Lokan, Pulau Pinang.

Dua tahun kemudian, pada 30 Ogos 1957 iaitu sehari sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Serbuk Kopi Campuran Hang Tuah mula dipasarkan secara komersial, sekali gus menjadi antara jenama kopi tempatan yang berkembang seiring peredaran zaman.

Mohd Shahrizal berkata, syarikat kini memiliki rangkaian operasi meliputi sembilan negeri di Semenanjung Malaysia menerusi cawangan dan pusat pengedaran, dengan fokus memperkukuh kehadiran dalam saluran perdagangan moden.

"Buat masa ini, kami mahu memastikan semua produk kami berada di setiap pasar raya utama.

"Kami mahukan 100 peratus keterlihatan dan kebolehcapaian kepada pengguna. Itu sasaran kami," katanya.

Pilihan produk Kopi Hang Tuah yang menampilkan portfolio kopi pelbagai jenama serta produk terlarisnya, termasuk Kopi Pracampuran Liberica 2-dalam-1 Tanpa Gula (pek hijau), Kopi Pracampuran Robusta 2-dalam-1 Tanpa Gula (pek biru) dan Campuran Kopi 200 gram (pek hijau), sekali gus mencerminkan usaha jenama itu memperkukuh kedudukannya dalam pasaran.
Pilihan produk Kopi Hang Tuah yang menampilkan portfolio kopi pelbagai jenama serta produk terlarisnya, termasuk Kopi Pracampuran Liberica 2-dalam-1 Tanpa Gula (pek hijau), Kopi Pracampuran Robusta 2-dalam-1 Tanpa Gula (pek biru) dan Campuran Kopi 200 gram (pek hijau), sekali gus mencerminkan usaha jenama itu memperkukuh kedudukannya dalam pasaran.

Menurutnya, kilang syarikat kini beroperasi pada kadar penggunaan kapasiti sekitar 65 peratus menerusi satu syif dan masih mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa.

Beliau berkata, produk kopi dua dalam satu yang kini menjadi produk terlaris mampu dibungkus pada kadar kira-kira 56 pek seminit dengan pengeluaran sekitar 300 karton sehari.

"Buat masa ini kapasiti tersebut mencukupi untuk memenuhi permintaan semasa, namun kami sentiasa menilai ruang untuk menambah baik kecekapan pembungkusan," ujarnya.

Jelas beliau, Kopi Hang Tuah yang kini berdiri dengan slogan 'Pahlawan dalam setiap cawan', merancang memperkenalkan empat hingga lima produk baharu bagi menarik minat pengguna muda, di samping mengukuhkan kehadiran digital jenama tersebut.

"Sejak Januari saya bekerja rapat dengan pasukan Ekuinas dan saya dapat melihat kesungguhan mereka. Kopi Hang Tuah sudah hampir 70 tahun sebagai perniagaan keluarga, tetapi untuk pergi ke tahap seterusnya kami perlu berani berubah.

"Insya-ALLAH, dengan sokongan Ekuinas, kami bukan sahaja akan mencapai sasaran yang ditetapkan, malah melepasi sasaran itu," katanya.

Ekuinas gariskan enam strategi pacu Kopi Hang Tuah capai KPI

Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) menggariskan enam strategi utama bagi mempercepatkan pertumbuhan Kopi Hang Tuah dengan sasaran membantu jenama kopi warisan tersebut mencapai sasaran ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata, enam fokus tersebut merangkumi pembangunan bakat, pengukuhan operasi, tadbir urus kewangan, inovasi produk, peluasan akses pasaran serta memperkukuh keupayaan syarikat mendapatkan modal.

Menurutnya, Kopi Hang Tuah dipilih sebagai syarikat pertama di bawah Program Capacity Building kerana memiliki asas perniagaan yang kukuh, namun memerlukan intervensi strategik untuk membuka potensi pertumbuhan yang lebih besar.

"Apa yang berlaku pada masa lalu tetap sejarah, tetapi yang kami lihat ialah potensi Hang Tuah untuk berkembang pada masa depan.

"Penciptaan nilai bukan sekadar bekerja keras. Ia melibatkan memastikan organisasi mempunyai bakat yang tepat, operasi yang lebih cekap dan keberanian melakukan perubahan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar (empat,kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Hang Tuah, Mohd Shahrizal Zoal (empat,kiri) serta wakil Ekuinas dan Kopi Hang Tuah pada lawatan yang menandakan pelancaran Program Pembangunan Kapasiti selama tiga tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar (empat,kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Hang Tuah, Mohd Shahrizal Zoal (empat,kiri) serta wakil Ekuinas dan Kopi Hang Tuah pada lawatan yang menandakan pelancaran Program Pembangunan Kapasiti selama tiga tahun.

Menurut Aliff, Ekuinas akan bekerjasama rapat dengan syarikat tersebut selama tiga tahun bagi mengenal pasti jurang dalam setiap aspek berkenaan sebelum melaksanakan pelan penciptaan nilai yang disesuaikan dengan keperluan syarikat.

Katanya, matlamat program berkenaan bukan sekadar meningkatkan pendapatan, malah membolehkan Hang Tuah berdiri dengan kaki sendiri melalui rekod prestasi yang mampu menarik minat institusi kewangan dan pelabur.

"Dalam dunia pelaburan, modal sentiasa mengikuti kejayaan syarikat. Peranan kami ialah membantu membina keupayaan itu supaya apabila syarikat berkembang, akses kepada modal akan datang dengan sendirinya," ujarnya.

Mengulas Program Capacity Building, Aliff berkata, Ekuinas menyasarkan memilih dua hingga tiga syarikat yang berpotensi setiap tahun, terdiri daripada pelbagai sektor

Jelas beliau, Ekuinas akan berperanan sebagai pembuka pintu untuk syarikat-syarikat Bumiputera supaya mereka dapat bersedia menerima pelaburan dari luar.

"Yang paling penting ialah potensi syarikat dan kesediaan pengurusan untuk melalui proses transformasi.

"Program ini memerlukan komitmen tinggi daripada kedua-dua pihak kerana perubahan sebenar berlaku melalui pelaksanaan, bukan sekadar suntikan modal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!