Sumbangan orang ramai berjaya bantu Zoo Negara

Semburan nyahkuman di Zoo Negara dilakukan oleh anggota bomba hari ini.
Semburan nyahkuman di Zoo Negara dilakukan oleh anggota bomba hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Zoo Negara mampu berjimat sehingga RM300,000 untuk kos makanan haiwan bulan ini berikutan sumbangan tidak putus-putus daripada orang ramai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengarah Veterinar Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli berkata, pihak pengurusan memperuntukkan RM350,000 sebulan untuk kos berkenaan, namun peruntukkan RM50,000 sahaja dikeluarkan bulan ini bagi menampung keperluan 3,500 haiwan daripada 300 spesies.

Pengarah Veterinar Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli
Pengarah Veterinar Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli

Pihaknya turut menghargai usaha penyumbang dalam memberi bantuan berupa kewangan dan bekalan makanan termasuk sayuran, daging, ayam dan ikan bagi membantu kos operasi yang sebelum ini bergantung kepada hasil pembayaran tiket.

"Untuk April, stok makanan dah cukup termasuk 4.5 tan ayam dan daging atau kos RM80,000, namun kami tetap terima bekalan selagi ada yang mahu menyumbang untuk teruskan momentum.

"Kuantiti makanan perlu banyak kerana stok yang diterima biasanya hanya bertahan satu hingga dua hari. Ada juga haiwan seperti burung yang perlukan 200 kilogram ikan segar setiap hari sebagai makanan yang kosnya mencecah RM3,000 sehari," katanya.

Beliau ditemui selepas Ops Sanitasi Awam oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) Selangor hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Muttalib yang turut memantau operasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut katanya, keprihatinan pihak tertentu mengenai nasib haiwan dalam zoo sejak PKP turut menarik kesedaran orang awam untuk sama-sama membantu.

Semburan nyahkuman di Zoo Negara dilakukan oleh anggota bomba hari ini.
Semburan nyahkuman di Zoo Negara dilakukan oleh anggota bomba hari ini.

"Melalui kempen Adopt An Animal yang dilaksanakan juga turut membantu dari segi dana. Kesedaran orang awam meningkat, mereka turut berkongsi keperitan.

"Ada yang menyumbang antara RM5, RM10 atau RM100 namun jumlah penderma mencecah 30,000 orang berjaya mengumpul dana sehingga RM2 juta," katanya.

Terdahulu, PKP yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas turut memberi impak kepada Zoo Negara apabila terpaksa menggunakan tabung kecemasannya untuk meneruskan operasi.

Tabung kecemasan tersebut diwujudkan khusus oleh pihak pengurusan Persatuan Zoologi Malaysia (MSZ) untuk keadaan seperti di luar jangka seperti PKP.

Orang ramai atau pihak luar yang ingin menyalurkan sumbangan berbentuk bahan mentah menghubungi melalui alamat e-mel: veterinar@zoonegaramalaysia.my atau sumbangan wang tunai melalui https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html.