Kedah benarkan solat jemaah di masjid bersyarat

Fadzil (tengah) menyerahkan sumbangan kepada petugas sambil diperhatikan Syeikh Zakaria (kanan) di Pos Kawalan Polis Taman Rakyat Mergong di sini hari ini.
Fadzil (tengah) menyerahkan sumbangan kepada petugas sambil diperhatikan Syeikh Zakaria (kanan) di Pos Kawalan Polis Taman Rakyat Mergong di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenan solat jemaah diadakan di seluruh masjid di negeri ini dengan bersyarat.

Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang berkata, bilangan jemaah yang dibenarkan mendirikan solat di masjid dihadkan kepada tiga orang sahaja pada satu-satu waktu.

Beliau berkata, meskipun bilangan jemaah dihadkan melibatkan imam, pegawai masjid ataupun jawatankuasa kariah, namun ia sudah dapat memenuhi tuntutan fardu kifayah ke atas anak kariah.

"Jabatan Mufti Kedah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tuanku Sultan Kedah kerana telah memperkenan solat berjemaah di masjid-masjid boleh diadakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Biarpun bilangan jemaah dibenarkan kecil, namun sudah dapat memenuhi tuntutan fardu kifayah ke atas anak kariah," katanya kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan kepada polis di Pos Kawalan Polis Taman Rakyat Mergong di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah, Zakaria Othman.

Beliau menjelaskan kebenaran solat jemaah berkenaan hanya untuk masjid sahaja tidak termasuk surau.

"Orang ramai hendaklah menunaikan solat Zuhur pada hari Jumaat di kediaman masing-masing memandangkan solat Jumaat dan solat Tarawih juga tidak dibenarkan di masjid," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, umat Islam diminta tidak bersedih apabila tidak dibenarkan hadir ke masjid dalam tempoh PKP kerana mereka tetap memperoleh pahalanya.

"Berdasarkan hadis riwayat Al-Bukhari mengatakan apabila seseorang sakit atau musafir (keuzuran) tetap akan ditulis baginya (pahala) seperti ia mengerjakan semasa ia tidak musafir dan berkeadaan sihat," katanya.

Katanya, ketetapan berkenaan boleh berubah dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan wabak koronavirus (Covid-19),

Dalam perkembangan sama, katanya, orang awam diingatkan mematuhi arahan PKP dengan hanya keluar apabila memiliki urusan sahaja seperti membeli barang keperluan.

"Dengan mematuhi PKP, inilah sumbangan kita bersama-sama untuk memutuskan rangkaian penyakit," katanya.