Ringgit mengukuh, kekuatan dalaman penentu

PERGERAKAN mata wang ringgit kebelakangan ini banyak dipengaruhi oleh perubahan jangkaan terhadap hala tuju kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).
Pada Jumaat lalu, ringgit berbanding dolar AS ditutup pada paras RM4.0385, meningkat sebanyak 2.7 peratus berbanding paras terendah yang dicatatkan pada 22 Jun, iaitu RM4.1483.
Jika sebelum ini pasaran melihat kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar faedah seawal September, jangkaan tersebut kini semakin berkurangan susulan beberapa petunjuk ekonomi AS yang mula menunjukkan tanda-tanda kelembapan.
Antara yang paling ketara ialah keadaan pasaran buruh. Data terkini menunjukkan Nonfarm Payrolls ( P) AS berkurangan sebanyak 23,000 pekerjaan pada Julai, berbanding purata pertambahan sekitar 34,000 pekerjaan sebulan sepanjang 12 bulan sebelumnya. Kadar pengangguran pula berada pada 4.1 peratus.
Pada masa yang sama, tekanan inflasi juga menunjukkan tanda-tanda reda. Indeks Harga Pengguna (IHP) AS hanya meningkat 0.1 peratus pada Julai selepas susut 0.4 peratus pada Jun.
Secara tahunan, inflasi keseluruhan menyederhana kepada 3.4 peratus daripada 3.5 peratus sebelumnya, manakala inflasi teras turun kepada 2.5 peratus daripada 2.6 peratus.
Perkembangan ini penting kerana mandat Fed bukan sahaja berkaitan dengan kestabilan harga, malah turut mengambil kira keadaan pasaran buruh.
Apabila penciptaan pekerjaan semakin lemah dan inflasi mula menyederhana, keperluan untuk mengetatkan dasar monetari secara agresif juga semakin berkurangan.
Malah, tindakan Perbendaharaan AS meningkatkan pembelian semula bon kerajaan jangka panjang turut menarik perhatian pasaran.
Langkah tersebut bertujuan menstabilkan pasaran bon ketika hasil bon jangka panjang meningkat dengan mendadak.
Secara tidak langsung, ia menggambarkan kebimbangan pihak berkuasa terhadap kesan kadar pembiayaan yang terlalu tinggi terhadap ekonomi.
Dalam konteks ini, perbezaan kadar faedah antara AS dengan negara lain berpotensi menjadi semakin kurang memihak kepada dolar AS.
Buat masa ini, kadar dasar di AS, iaitu Fed Funds Rate, berada pada paras 3.75 peratus, manakala Kadar Dasar Semalaman (OPR) berada pada paras 2.75 peratus.
Sekiranya jangkaan kenaikan kadar Fed terus berkurangan, permintaan terhadap dolar AS boleh menjadi lebih sederhana dan membuka ruang kepada mata wang serantau, termasuk ringgit, untuk mengukuh.
Namun, kekuatan ringgit tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada kelemahan dolar AS.
Malaysia perlu menggunakan ruang yang ada untuk memperkukuh faktor domestik.
Kestabilan politik merupakan prasyarat penting kerana pelabur mahukan kepastian terhadap kesinambungan dasar.
Pada masa yang sama, agenda reformasi ekonomi dan institusi perlu diteruskan bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh kedudukan fiskal, menarik pelaburan berkualiti serta meningkatkan daya saing negara.
Ringgit pada akhirnya merupakan cerminan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia.
Apabila pelabur yakin terhadap kestabilan politik, disiplin dasar dan kesungguhan melaksanakan reformasi, aliran modal akan mempunyai alasan yang lebih kukuh untuk kekal dan kembali ke Malaysia.
Justeru, perubahan jangkaan terhadap kadar faedah AS mungkin memberikan angin dari luar kepada ringgit.
Namun, untuk memastikan pengukuhan itu lebih berkekalan, Malaysia sendiri perlu membina sauh dari dalam melalui kestabilan politik serta reformasi ekonomi dan institusi yang kukuh.
Itulah asas sebenar kepada ringgit yang lebih berdaya tahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

