U Mobile capai 90 peratus liputan 5G, 9 bulan lebih awal daripada sasaran


U Mobile mencapai 90 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk (CoPA) di seluruh negara, kira-kira sembilan bulan lebih awal daripada sasaran Julai 2027 menerusi rangkaian ULTRA5G.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, pencapaian berkenaan membuktikan keupayaan syarikat telekomunikasi itu melaksanakan pembangunan rangkaian 5G pada skala dan kelajuan tinggi.
Menurutnya, U Mobile sebelum ini mencapai lebih 80 peratus CoPA pada Mac 2026 dalam tempoh kurang sembilan bulan selepas pelaksanaan rangkaian dimulakan dan lebih tiga bulan lebih awal daripada sasaran Julai 2026.
"Pencapaian 90 peratus liputan 5G nasional lebih sembilan bulan lebih awal mencerminkan kesungguhan seluruh pasukan U Mobile dan kerjasama erat kerajaan, pengawal selia, rakan teknologi serta infrastruktur.
"Kami komited membina rangkaian 5G nasional dengan pantas dan pada skala besar dan hari ini kami berbangga kerana berjaya memenuhi janji itu lebih awal daripada jadual," katanya.
Sebelum itu, pencapaian terbabit diumumkan pada satu acara yang disempurnakan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada Selasa.
Heang Tuck berpandangan, pencapaian itu bukan sekadar memenuhi sasaran liputan, sebaliknya turut menyediakan akses sambungan digital yang lebih baik kepada rakyat di seluruh negara.
Ujarnya lagi, rangkaian nasional itu menjadi asas untuk memperkukuh pengalaman ULTRA5G selain membantu perniagaan, komuniti dan perkhidmatan awam memanfaatkan teknologi digital dengan lebih berkesan.
U Mobile mula melaksanakan pembangunan rangkaian 5G pada Julai 2025 dengan sasaran mencapai 80 peratus CoPA dalam tempoh 12 bulan pertama, diikuti 90 peratus CoPA menjelang Julai 2027.
Dengan pencapaian kedua-dua sasaran lebih awal, U Mobile menyifatkan ia sebagai pemenuhan komitmen liputan nasional yang menjadi asas kepada peranannya dalam Model Rangkaian 5G Dwi Malaysia.
Dari segi prestasi rangkaian, U Mobile turut menerima pengiktirafan bebas pada 2026 apabila dinamakan Rangkaian Mudah Alih Terbaik Malaysia dan Rangkaian 5G Terpantas oleh Ookla.
Opensignal pula mengiktiraf peningkatan U Mobile dalam aspek kebolehpercayaan, kualiti rangkaian, kelajuan dan pengalaman 5G.
U Mobile turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi Pelancaran Rangkaian 5G Terpantas di Malaysia selepas mencapai lebih 80 peratus CoPA dalam tempoh kurang sembilan bulan.
Selepas mencapai sasaran liputan nasional, U Mobile akan terus memperluas dan meningkatkan kualiti ULTRA5G termasuk liputan dalam bangunan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

