'Tidak masuk akal, masih ada rakyat dakwa tak tahu PKP'

Sekumpulan lelaki ini yang sedang melepak di salah sebuah rumah penduduk kampung di Paka, di sini ditahan dalam operasi bersepadu PKP fasa 3, semalam. - Foto FB IPD Dungun
Sekumpulan lelaki ini yang sedang melepak di salah sebuah rumah penduduk kampung di Paka, di sini ditahan dalam operasi bersepadu PKP fasa 3, semalam. - Foto FB IPD Dungun
A
A
A

DUNGUN - [DIKEMASKINI] Begitu mengejutkan dan tidak masuk akal apabila masih terdapat segelintir individu yang mendakwa tidak mengetahui mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedangkan pelaksanaannya sudah di peringkat Fasa Ketiga dalam usaha memutuskan rantaian penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, masih ada individu yang degil dengan memberi alasan tidak masuk akal sedemikian untuk berada di luar rumah termasuk mendakwa tidak mengetahui mengenai arahan PKP selain keluar rumah untuk membeli barangan dalam tempoh larangan itu.

"Sebagai contoh, ada individu memberikan alasan keluar rumah untuk membeli roti, air dan rokok pada jam 10 malam dan ini adalah alasan tidak munasabah kerana orang ramai pastinya sudah tahu bahawa semua operasi kedai ditutup pada jam 6 petang.

"Lebih menyedihkan, didapati masih terdapat ramai individu yang terus melepak terutama di kawasan kampung sambil melakukan aktiviti sosial seperti menghisap rokok, membaiki motosikal dan lain-lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Empat lelaki ditahan ketika sedang berkumpul tanpa alasan munasabah di sebuah Kampung di sekitar Paka, di sini. - Foto FB IPD Dungun
Empat lelaki ditahan ketika sedang berkumpul tanpa alasan munasabah di sebuah Kampung di sekitar Paka, di sini. - Foto FB IPD Dungun

Baharudin menegaskan, sehubungan itu polis akan terus memperketatkan penguatkuasaan PKP di daerah berkenaan dengan pemantauan lebih ketat ke atas pergerakan orang awam khususnya ketika sekatan jalan raya.

Menurutnya, dalam tempoh dua hari PKP Fasa Ketiga dilaksanakan, seramai 23 individu telah ditahan dalam operasi bersepadu pematuhan PKP di sekitar bandar Paka.

Mereka berusia antara 20-an dan 30-an, termasuk enam daripadanya warga Indonesia yang diberkas kerana berlegar-legar di sekitar kawasan Paka, di sini tanpa tujuan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap orang awam perlu peka dan mematuhi arahan PKP yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak koronovirus (Covid-19).

"Bermula PKP Fasa Ketiga, kami bukan hanya memperketatkan sekatan di Jalan Persekutuan, tetapi turut memfokuskan beberapa laluan tikus yang sudah dikenalpasti menjadi pilihan individu yang melaluinya bagi mengelakkan ditahan kerana ingkar PKP," katanya.